Sabah bawa pulang tiga mata berharga

Sabah bawa pulang tiga mata berharga

KOTA BAHRU: Pasukan Sabah FC berjaya membawa mata penuh selepas menumbangkan Kelantan Darul Naim FC dengan keputusan 3-2 di Stadium Muhamad IV semalam.

Sang Badak berjaya memecah kebuntuan dengan gol pembukaan Gabriel Peres pada minit ke-25 dan menguasai hampir keseluruhan babak masa pertama.

Tuan rumah kemudiannya berjaya mendapatkan rentak kembali dengan gol penyamaan hasil daripada gerakan menarik set piece Kim Lik Wan pada minit ke-55.

Hampir 10 minit kemudian, Sabah berjaya menambah jaringan kedua pada minit ke-63 dengan pemain gantian, Stuart Wilkin berjaya menumpaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Anuar Jalil.

Sabah bertambah garang dengan ayam tambatan import pasukan, Ramon Machado menghampakan penyokong tuan rumah di Stadium Muhamad IV dengan jaringan gol ketiga pada minit ke-69.

Gol saguhati pasukan Kelantan Darul Naim FC hadir pada minit terakhir perlawanan dengan penyerang Bae Kyeonghwan pada minit ke-90+1 sebelum keputusan berakhir dengan 3-2 semalam.

Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dalam sidang media selepas perlawanan memberikan reaksi positif terhadap aksi kedua-dua pasukan namun tidak menyembunyikan kelemahan daripada aspek persembahan Sang Badak yang kelihatan agak bergelut dengan taktikal hantaran bola tinggi pasukan tuan rumah.

“Dari segi kemenangan dan jaringan gol amat berpuas hati, tapi dibolosi dua gol daripada set piece saya tidak berpuas hati di mana kita harus kita memperbaikinya lagi…”Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

“Dari segi kemenangan dan jaringan gol amat berpuas hati, tapi dibolosi dua gol daripada set piece saya tidak berpuas hati di mana kita harus kita memperbaikinya lagi.

“Itu yang saya katakan kelemahan kita tidak mengawal kedaan tidak baik di mana hantaran bola tinggi kita semua hantaran-hantaran jauh, kita leka,” katanya.

Mengulas mengenai kecekapan aksi pemain veteran dan bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, beliau mendedahkan penjaga gawang Sabah itu sentiasa konsisten.

Ini susulan daripada aksi dan kecekapan penjaga gol Sabah itu beraksi pada perlawanan berkenaan termasuklah berjaya menyelamatkan sepakan penalti Kelantan pada minit ke-32 semalam.

“Kita tahu Khairul Fahmi bermain secara konsisten selama saya bersama Sabah tiada apa yang perlu dipersoalkan, untuk menyertai semula pasukan kebangsaan itu terpulang kepada jurulatih dan kem pasukan kebangsaan itu sendiri,” katanya.

Sabah FC akan menentang Kuching City FC pada 25 Mei hadapan di Stadium Likas.

(gambar kredit Facebook rasmi Sabah FC)

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|