LAHAD DATU: Ke arah menokhtahkan miskin tegar, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah giat melaksanakan pelbagai program bagi membasmi kemiskinan dalam kalangan penduduk di negeri ini.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Samad Jambri berkata program yang dirangka melibatkan kerjasama jabatan dan agensi lain meliputi program keusahawanan, pemberian Rumah SMJ, dan meningkatkan ekonomi golongan sasar yang tersenarai dalam kategori miskin tegar dan golongan B40 yang diharap dapat mengurangkan kadar kemiskinan dari masa ke masa.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan penutupan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung siri 1/2024 Daerah Kecil Tungku.
“Jemaah Menteri negeri Sabah telah memutuskan pertukaran nama JPKK kepada JKKK semasa dalam mesyuarat pada 26 Julai 2023 lalu, ia bersesuaian dengan dasar Kerajaan negeri dan juga KPLB yang mahu menjadikan JKKK sebagai sebuah badan yang mampan, relevan dan berkebolehan dalam tadbir urus kampung, selain bertepatan dengan visi dan misi KPLB Sabah mensejahterakan luar bandar,” ujarnya.
Seramai 70 yang peserta terdiri daripada pengerusi dan setiausaha JKKK terlibat dalam kursus yang diadakan selama 3 hari itu.
Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan membangkitkan semangat dalam melaksanakan peranan dan melahirkan pemimpin JKKK yang telus, berwibawa, efisien dan berpandangan jauh.
Hadir sama dalam majlis itu,Pegawai Daerah Lahad Datu, Fiuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul dan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Tungku, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan .
Deasoka