NGO bantu ringankan beban mangsa kebakaran Sandakan

NGO bantu ringankan beban mangsa kebakaran Sandakan

SANDAKAN: Mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Sentosa Jaya, Batu 3, Sandakan terus mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak bagi membantu meringankan beban mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran baru-baru ini.

Di antara badan bukan kerajaan atau NGO tampil prihatin ialah Persatuan Gabungan Pemandu-Pemandu E – Hailing Daerah Sandakan yang datang dengan berkonvoi untuk menyantuni sekali gus menghulurkan bantuan kepada kesemua mangsa yang tinggal sehelai sepinggang itu.

Pengerusi Persatuan berkenaan, Amin Vun Abdullah berharap dengan sumbangan ikhlas berupa barangan keperluan termasuk air mineral dan pakaian terpakai sekurang-kurangnya membantu meringankan beban ditanggung mangsa-mangsa kebakaran.

“Saya Mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan daripada Persatuan Gabungan Pemandu-Pemandu E – Hailing Daerah Sandakan dan juga pemandu-pemandu daripada MyCar, Maxim, Grab, Air Asia kerana menghulurkan bantuan meringankan beban pada mangsa kebakaran .. ok, berkaitan dengan bantuan .. bantuan hasil daripada sumbangan rakan-rakan pemandu e – hailing laa seperti gula, minyak dan juga berbagai lagi laa termasuk pakaian terpakai dan air mineral untuk semua mangsa kebakaran,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya amat bersimpati dengan nasib penduduk kampung yang ditimpa musibah akibat kebakaran dan telah berusaha mengutip dana dalam kalangan ahli dan rakan-rakan pemandu e – hailing bagi membantu mangsa kebakaran selari dengan misi kemanusiaan serta aktiviti amal yang dijalankan oleh persatuan tersebut.

Amin berharap mangsa-mangsa kebakaran bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian ini kerana setiap yang berlaku pasti akan ada hikmahnya.

Sementara itu, seorang mangsa kebakaran Aldin Zainuddin turut menceritakan detik-detik cemas semasa berlakunya kebakaran di mana dia hanya sempat selamatkan anak-anaknya manakala dokumen penting dan barangan lain hangus terbakar.

“Sebelum berlaku kebakaran masa tu, aku tengah tidur laa .. ada dia punya cucu dia kasitau dia cakap kami punya rumah terbakar .. aku terus laa bangun sekali aku bangun memang api tu memang besar, aku mau cuba selamatkan tapi ndak boleh .. angin tu memang kuat laa, itu laa yang menyedihkan masa kebakaran yang aku boleh selamatkan anak ku saja itu saja yang lain barang semua memang hangus semua,” beritahu beliau yang bekerja di sektor swasta itu.

Dalam kejadian kebakaran pada petang 1 Mei lalu, dianggarkan lebih kurang 119 orang mangsa terlibat dalam musibah yang telah memusnahkan sebanyak 22 buah rumah itu.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|