Isu serangan, Sabah FC tingkat keselamatan: Shahelmey

Isu serangan, Sabah FC tingkat keselamatan: Shahelmey

KOTA KINABALU: Tahap keselamatan di kalangan pemain, pihak pengurusan serta penyokong Sabah FC akan menjadi keutamaan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Itulah jaminan yang diutamakan oleh Sabah FC susulan senario kes serangan terhadap pemain bola sepak di negara ini yang dilihat semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Menurut Presidennya, Datuk Shahelmey Yahya, langkah berjaga-jaga akan sentiasa diambil dalam memastikan kesemuanya berada di tahap selamat terutamanya keselamatan pemain.

“Kita agak terkejut dan agak sedih berhubung tiga serangan yang berlaku setakat ini, dan kita berharap perkara itu tidak akan berlanjutan dan tidak akan berjangkit ke merata tempat.

“Kita di Sabah FC mengambil langkah berjaga-jaga dan ingin memastikan bahawa keselamatan pemain kita akan berada di dalam keadaan selamat agar mereka boleh berasa tenang dan boleh fokus bermain mengharungi liga yang akan bermula pada minggu hadapan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah berkata demikian kepada media selepas pelancaran jersi perlawanan bagi edisi tuan rumah Sabah FC di Kota Kinabalu, pada Khamis.

Terdahulu, industri bola sepak tempatan dikejutkan dengan beberapa serangan jenayah melibatkan pemain bola sepak termasuklah penyerang sensasi Selangor FC, Faisal Halim yang kini terpaksa mendapatkan rawatan selepas disimbah cecair asid dalam satu insiden di ibu negara baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai isu provokasi di kalangan peminat bola sepak sehingga sedikit sebanyak menyebabkan menghangatkan isu serangan pemain bola di negara ini, Shahelmey berharap peminat Sabah FC tidak terikut-ikut dengan senario berkenaan/

“Cuma cerita-cerita di media sosial ini tidak berdasarkan fakta yang jelas dan lengkap, apa yang saya dapat rumuskan kepada peminat-peminat bola sepak melalui kegiatan aktif mereka di media sosial, cubalah bendung menyebarkan berita-berita yang jelas, tidak sahih.

“Sama-sama kita mainkan peranan agar keselamatan, pembangunan dan perjalanan bola sepak kita dapat dilaksanakan dalam keadaan baik dan profesional,” katanya.

Sabah FC secara rasminya menayangkan buat kali pertama jersi home yang diberi gelaran Tagap sebelum membuka tirai dalam perlawanan pertama Liga Super menentang pasukan Penang FC di Stadium Likas, pada 12 Mei nanti.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|