Cubaan samun kedai emas gagal

Cubaan samun kedai emas gagal

LAHAD DATU: Tindakan berani seorang pengurus kedai emas berjaya menggagalkan cubaan samun di Dataran Palma pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad dalam satu kenyataan media berkata kejadian berlaku sekitar 8.39 pagi apabila pengurus kedai emas tersebut sedang berkemas untuk memulakan perniagaan.

Menurut beliau, dalam kejadian itu, tidak semena-mena, seorang lelaki datang ke arah kaunter kedai dan mengacukan objek menyerupai pistol kepada mangsa yang mana pihak kami syaki ia adalah pistol palsu dan mengarahkan mangsa untuk memasukkan emas ke dalam beg kain.

Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, mangsa telah bertindak berani dengan membaling satu batang besi pengukur saiz cincin ke arah suspek dan berjaya gagalkan kejadian cubaan samun itu.

“Polis sedang giat mengesan suspek kes ini dan memohon kerjasama dari orang ramai untuk menyalurkan maklumat untuk mengesan suspek.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 30 tahun dan sebat,” katanya.

Jelas beliau, sebarang maklumat boleh hubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu, ASP Suddin Tjinke di Talian 017-4881755.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|