Bom ikan, dua warga Filipina dicekup

Bom ikan, dua warga Filipina dicekup

LABUAN: Maritim Malaysia berjaya mematahkan aktiviti pengeboman ikan dalam tangkapan dua individu di perairan Pulau Tiga, dekat sini, baru- baru ini.

Dalam kejadian jam 10.30 malam Rabu lalu, kedua-dua suspek lelaki berusia 41 dan 44 tahun itu ditahan bersama-sama beberapa barangan yang disyaki digunakan untuk aktiviti bom ikan di kawasan tersebut.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata,hasil pemeriksaan dan penggeledahan ke atas bot tersebut telah menahan dua orang lelaki dipercayai warganegara Filipina tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Selain itu, turut dijumpai peralatan seperti tiga botol berisi serbuk putih (Ammonium Nitrate) disyaki digunakan sebagai bom beserta dua tong yang digunakan untuk menyimpan hasil ikan.

“Bot dan dua lelaki yang ditahan diiring ke Jeti APMM Labuan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan, ” katanya.

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot kayu serta hasil tangkapan ikan pelbagai jenis dianggarkan sebanyak RM20,000.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|