PN perlu henti bodohkan penyokong sendiri: Razeef

PN perlu henti bodohkan penyokong sendiri: Razeef

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Razeef Rakimin, menyelar sikap pembangkang yang hanya memainkan sentimen membodohkan penyokong sendiri dengan menyebar naratif kerajaan sedia ada akan runtuh bila-bila masa.


Menurut beliau, isu Kerajaan Perpaduan akan jatuh bukanlah perkara baru, tetapi ia telah ‘dijamin’ akan berlaku oleh pimpinan PAS dan Bersatu sejak 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Namun hari ini selepas 420 hari bukan sahaja Kerajaan Perpaduan masih kukuh malah semakin stabil selepas beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan terhadap YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Tetapi apa yang melucukan namun pada masa sama menyedihkan adalah pembodohan kepada penyokong PN terus dilakukan oleh pemimpin dan ‘cybertrooper’ melalui propaganda bahawa Kerajaan Perpaduan akan jatuh.

“Dari sebulan ke 100 hari, dari selepas Hari Raya hingga ke Ogos, dari setahun dan terkini timbul cerita kerajaan Perpaduan pasti jatuh pada 18 Januari. Namun hari ini 19 Januari kerajaan Perpaduan masih utuh menjalankan tugas menyelesaikan masalah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Razeef dalam pada itu berkata, situasi itu bukan sahaja di Semenanjung, malah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan tegas mengeluarkan kenyataan bahawa gabungan Borneo ini setia kepada kerajaan Perpaduan.

“Malah blok Borneo terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga habis penggal. Mereka juga menegaskan tidak akan melayan sebarang tawaran malah telah menolak tawaran untuk menjadi Perdana Menteri.

“Ada lagi persoalan dari pejuang media PN yang setiap hari bertanya bilakah Anwar akan meletak jawatan setelah kehilangan sokongan. Namun bila ditanya bukti atau akuan berkanun bahawa Perdana Menteri telah kehilangan sokongan, mereka mengelak untuk menjawab dan beralih kepada dakwaan kerajaan hari ini gagal namun juga tanpa asas kukuh,” katanya.

Jelas beliau lagi, pihaknya turut menasihatkan kepimpinan PN dan ‘cybertrooper’ mereka untuk menghentikan pembodohan terhadap penyokong sendiri yang dilihat semakin muak dengan cubaan PN untuk menjatuhkan kerajaan dari pintu belakang dan propaganda kerajaan akan jatuh.

“PN juga perlu membuang ‘cybertrooper’ mereka yang gagal dengan propaganda mengarut ini sebaliknya mengupah mereka yang boleh menjadi semak dan imbang dalam menyuarakan beberapa kelemahan kerajaan.

“Ketagihan melampau setelah berjaya menumbangkan kerajaan pada tahun 2020 yang lalu jelas telah merosakkan otak pemimpin pembangkang.

“Mereka tidak lagi ingin menjadi pembangkang yang mampu menjadi semak dan imbang serta membawa suara rakyat di Parlimen sebaliknya mereka hanya sibuk cuba menggulingkan kerajaan melalui rundingan pelbagai ‘langkah’ yang jelas hanya menemui kegagalan,” katanya lagi.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|