35 PATI gagal dibawa masuk

35 PATI gagal dibawa masuk

KUDAT: Cubaan membawa masuk seramai 35 warganegara Filipina ke negeri ini gagal selepas dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat dalam kejadian di perairan Kudat, semalam.


Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, penahanan tersebut adalah hasil daripada pengesanan ke atas dua bot pancing yang mencurigakan di lokasi terbabit.
“Hasil maklumat perisikan yang diperolehi dan bantuan pengesanan oleh Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah APMM, dua buah bot ronda dari Zon Maritim Kudat yang sedang melakukan rondaan OP TIRIS, OP PLUTO TIMUR, OP KHAS PAGAR LAUT telah mengesan dua bot pancing yang mencurigakan di sekitar perairan Kudat.


“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tersebut membawa seramai 43 orang termasuk wanita dan kanak-kanak dalam lingkungan umur 2 hingga 55 tahun.


“Daripada jumlah tersebut, seramai 35 orang disyaki warganegara Filipina yang mempunyai dokumen pengenalan diri meragukan, manakala lapan lagi warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.


Jelas beliau, dalam kejadian sekitar petang Selasa itu berlaku di kedudukan kedudukan 7.6 batu nautika dari Tanjung Simpang Mangayau dan 6.6 batu nautika dari Pulau Kalutan, Balambangan.
“Kedua-dua bot tersebut disyaki bergerak dari Pulau Tawi- Tawi menuju ke Kota Kinabalu.


“Kes disiasat dibawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.


Zon Maritim Kudat menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.


Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|