Tiada pengenalan diri, Maritim tahan enam warga asing

Tiada pengenalan diri, Maritim tahan enam warga asing

LAHAD DATU:  Enam warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam kejadian di kawasan perairan Timur Pulau Bohayan, Kunak, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, hasil rondaan pihaknya di perairan berkenaan, Maritim berjaya memintas dan menahan sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Bot peronda Maritim Malaysia telah berjaya mengesan sebuah bot pam melalui rondaan rutin kira-kira 1.45 tengahari di kawasan 0.5 batu nautika di kawasan Timur Pulau Bohayan, Kunak, semalam.

“Hasil pemeriksaan terdapat enam kru bot iaitu empat lelaki dan seorang wanita warga Filipina yang berusia antara 17 tahun hingga 20 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Manakala seorang lagi warganegara Malaysia wanita dilepaskan tanpa sebarang pendakwaan, “katanya.

Jelasnya, kesemua yang ditahan telah dibawa untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Turut dirampas sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dan sebuah enjin pam.

“Zon Maritim Lahad Datu memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu agar terus memberi kerjasama dengan melaporkan jika terdapat sebarang maklumat berkaitan salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 089-885727 (Pusat Operasi Lahad Datu) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam, “katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|