Polis tahan lima lelaki, rampas syabu, ekstasi

Polis tahan lima lelaki, rampas syabu, ekstasi

PENAMPANG: Lima lelaki dicekup manakala 209.60 gram dadah jenis syabu dan dua biji pil ekstasi dirampas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan, empat daripada lima individu yang ditahan didapati positif dadah dengan kesemua tangkapan sudah dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.

Polis sedang melakukan pemeriksaan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di daerah Penampang, baru-baru ini. (Gambar oleh IPD Penampang)

“Pada 15 Disember lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Penampang telah melakukan serbuan ke lokasi tersebut dan kita berjaya menahan lima lelaki yang berusia lingkungan 16 hingga 46 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita kemudiannya melakukan rampasan dadah 209.60 gram jenis methamphetamine (syabu) dan dua biji pil ekstasi yang bernilai RM1,088.

“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan reman selama tujuh hari bermula semalam, “katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|