Lebih 1 juta batang rokok dirampas

Lebih 1 juta batang rokok dirampas

TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Tawau berjaya merampas lebih 1 juta batang rokok seludup dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor berhampiran Kampung Kubang Jaya, Semporna, 24 November lalu.

Dalam serbuan berkenaan, Kastam melalui Cawangan Penguatkuasaan JKDM Tawau itu merampas rokok pelbagai jenama yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk dipasarkan ke pasaran setempat.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, operasi yang bermula kira-kira 12 tengah hari itu membawa kepada rampasan bernilai RM684,688 termasuk cukai.

“Menerusi serbuan di rumah tersebut, kita berjaya menemukan 1,009.600 batang rokok pelbagai jenama dianggarkan berjumlah RM183,520 dengan anggaran cukainya mencecah RM510,168.

“Seorang lelaki tempatan berusia 60-an turut ditahan dalam kejadian itu yang dipercayai pemilik kepada rumah berkenaan, ” katanya.

Menurut beliau, pihaknya percaya modus operandi kegiatan suspek adalah menjadikan rumah tersebut sebagai stor penyimpanan sementara sebelum dipasarkan ke pasaran setempat.

“Kesemua barang kes, tahanan suspek sudah dibawa ke Pejabat Kastam Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1976, ” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|