Usaha kerajaan terus tuntut hak MA63 tidak perlu diperlekeh pembangkang: PERSANTUN

Usaha kerajaan terus tuntut hak MA63 tidak perlu diperlekeh pembangkang: PERSANTUN

KOTA KINABALU: Usaha Kerajaan Negeri Sabah yang secara berterusan menuntut hak-hak negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak perlu diperlekeh, malah perlu disokong semua pihak.

Presiden Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, tohmahan yang mengatakan bahawa kerajaan dibawah pimpinan Ketua Menteri Sabah, memperjuangkan MA63 sebagai perjuangan retorik politik dilihat tidak berasas sama sekali dan memperlihatkan sikap sebenar pihak tertentu terutamanya pembangkang untuk menerima kebenaran dan fakta.

“Di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang sentiasa komited dalam memperjuangkan hak Sabah terutamanya dalam hal-hal berkaitan MA63, ia sebenarnya perlu disokong oleh kita sebagai rakyat Sabah.

“Seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri, bantuan khas RM300 juta daripada Persekutuan baru-baru ini merupakan titik tolak suara kita telah didengar, meskipun ia bersifat interim sahaja namun pada masa sama, suara kita telah didengar oleh Persekutuan dan ini bukannya perkara retorik yang disangka.

“Ada lebih baik pihak yang mengkritik, terutamanya pembangkang untuk sama-sama mencari penyelesaian atau kaedah dan paling penting memahami hasrat kerajaan yang sentiasa mencari penyelesaian menerusi rundingan demi rundingan daripada terus menuduh dan menyebar dakyah songsang mengenai tuntutan MA63 ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya, di sini hari ini.

Najib Tay dalam pada masa yang sama turut melahirkan kekesalan dengan sikap pembangkang yang sentiasa menafikan kejayaan kerajaan negeri dibawah pentadbiran GRS dan komponennya dalam hal-hal berbangkit mengenai perjuangan MA63.

“Kenyataan ini bertujuan untuk menegaskan bahawa pembangkang sepatutnya tidak lagi menyesatkan rakyat Sabah, dan kita perlu bersama-sama berusaha agar suara Sabah menjadi lebih berpengaruh, memperjuangkan hak-hak yang ditetapkan dalam MA63 bukannya hanya berdendang di laman media sosial sahaja,” katanya.

Beliau berkata, bantuan khas RM3 bilion (Belanjawan Malaysia MADANI 2024) yang diberikan oleh kerajaan persekutuan menunjukkan kerajaan Sabah bergerak ke arah yang betul untuk merealisasikan hak Sabah mengikut Perlembagaan Malaysia.

Jelasnya lagi, PERSANTUN turut menyokong usaha kerajaan Sabah terhadap keputusan Jawatankuasa Teknikal Perjanjian 1963 Malaysia sebagai penyelesaian sementara.

“Perundingan lanjutan sedang berlangsung dengan Jawatankuasa Khas bagi Sarawak untuk menentukan formula dan penetapan akhir bagi pemberian bantuan khas kepada kedua-dua negeri Borneo, dijangka selesai dalam tempoh setahun.

“Harapan saya ialah pembangkang menghentikan serangan dan terus menerus menerbitkan cerita palsu, tetapi bekerjasamalah dengan kerajaan Sabah untuk memperjuangkan kebajikan rakyat Sabah,” ujar Najib Tay.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|