Kejayaan bedah ketumbuhan muka, Hospital Lahad Datu lakar sejarah

Kejayaan bedah ketumbuhan muka, Hospital Lahad Datu lakar sejarah

LAHAD DATU: Hospital Lahad Datu melakar sejarah tersendiri apabila berjaya membedah dan membuang ketumbuhan besar pada wajah seorang wanita yang telah menderita lapan tahun ketumbuhan pada bahagian muka kanan (Pleomorphic Adenoma).

Wanita tersebut dikatakan telah cuba mendapatkan rawatan di seluruh Sabah termasuk hospital swasta, namun disebabkan saiz ketumbuhan yang besar banyak pihak yang menolak untuk menjalankan pembedahan itu.

Nur Patma Jimlani berkata ketumbuhan yang dialaminya diperingkat awal hanya seperti biji kecil di tepi bahagian pipinya, namun saban hari ianya semakin membesar.

Menurutnya, dia tidak merasakan sebarang kesakitan pada ketumbuhan yang dialami, namun saiz ketumbuhan yang semakin membesar telah membataskan banyak aktiviti fizikal sehariannya.

“ Kini saya amat gembira kerana ada pihak yang sudi membantu saya untuk membuang ketumbuhan ini,terima kasih buat semua doktor yang telibat,”katanya.

Pengarah Hospital Lahad Datu, Dr. Andi Shamsurezal Dato Mohd Sainal memberitahu prosedur pembedahan telah berlangsung selama 3 jam.

“Ketumbuhan seberat 1.03 kilogram telah berjaya dibuang hasil gabungan kerjasama diantara pakar pakar daripada Sandakan, Kota Kinabalu, Keningau dan Lahad Datu.

Dalam pada itu Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial, Dr. Rubinderan A/L Muthusamy berkata, sekiranya ketumbuhan berkenaan terus dibiarkan, pesakit berpotensi mengalami beberapa komplikasi kesihatan yang lain selain mengakibatkan keterbatasan pergerakan fizikal.

“Jika pertumbuhan tu semakin besar pesakit susah untuk pandang kiri dan kanan dan dia akan menyebabkan sakit tengkuk dan lain masalah-masalah besar yang lain dan ia boleh menekan dia punya saluran pernafasan dan saluran darah, ia juga menyebabkan pesakit menghadapi masalah dari psikologi dan mengganggu kehidupan seharian,” kata Rubinderan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|