Loji klinker, simen bersepadu akan dibina di Tongod – Hajiji

Loji klinker, simen bersepadu akan dibina di Tongod – Hajiji

Kota Kinabalu: Sebuah loji klinker dan simen bersepadu akan dibina di Pinangah, Tongod, berikutan Perjanjian Usahasama antara SEDCO dan Sri Alam Setia Sdn Bhd yang akan menyaksikan penubuhan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd untuk menerajui pembangunan.

Projek itu akan memastikan bekalan yang konsisten dan harga simen yang lebih murah di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Usahasama tersebut di Menara Kinabalu, hari ini.

Pengerusi SEDCO, Datuk Rubin Balang dan Pengurus Besar, Haizar R.H. Ajaz Nabijan menandatangani bagi pihak SEDCO, manakala Pengarah Urusan Sri Alam Setia, Michael Kinsuan dan peguam, Hassan Murtaza menandatangani bagi pihak syarikat.

Loji klinker dan simen akan dibina di Tongod, menyediakan akses kepada 5,000 tan klinker setahun, bersamaan dengan 1.75 juta tan simen setiap tahun.

Dengan keperluan semasa pasaran Sabah pada 1.4 juta tan setahun, projek ini bukan sahaja akan memenuhi keperluan segera tetapi juga akan memastikan bekalan masa depan.

Projek ini juga bakal mentransformasikan Tongod, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kemiskinan dengan membawa masuk projek berimpak tinggi bagi mewujudkan peluang pekerjaan.

Loji klinker dan simen bersepadu ini dijangka mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Memorandum Perjanjian turut ditandatangani antara Borneo Cement (Sabah) Sdn. Bhd. dan Sinoma Industrial Engineering (M) Sdn. Bhd., pengeluar simen dan pemaju turnkey terbesar di dunia dan China.

Sinoma Industrial Engineering (M) komited untuk menyiapkan pembinaan loji dalam tempoh dua tahun.

Pengerusi, Datuk Masiung Banah menandatangani untuk Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd, manakala Sun Jian, yang mewakili Pengerusi Sinoma dan Pengarah Urusan, Liu Tao, menandatangani untuk Sinoma.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|