Kastam rampas dadah 6.1 kilogram

Kastam rampas dadah 6.1 kilogram

Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan dua lelaki dan merampas 6.156 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM221,616.

Rampasan dadah itu dijalankan hasil pemeriksaan awal yang dibuat melalui mesin pengimbas JKDM Sabah di Pos Aviation Lapangan Terbang Kota Kinabalu, pada 30 Disember 2022.

Mohd Nasir ketika sidang media berhubung rampasa dadah methamphetamine di Kota Kinabalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, hasil pemeriksaan melalui mesin pengimbas itu mememui tiga bungkusan yang meragukan disyaki mengandungi dadah berbahaya.

Katanya, selepas intipan dilakukan selama beberapa hari, jam 12.35 tengah hari, pada 3 Januari lalu pasukan serbuan menahan dua lelaki yang mahu menuntut salah satu daripada bungkusan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap bungkusan itu menemui dadah dipercayai jenis methamphetamine dengan berat kasar 3.085 kilogram dengan nilai RM111,060.

“Turut dirampas dua kenderaan buatan tempatan yang dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya dalam sidang media di Wisma Penguatkuasaan Desa Kastam, Sepanggar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap dua lagi bungkusan mencurigakan yang belum dituntut menemui 3.071 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM110,556.

“Kini kita sedang mengesan suspek yang terbabit dalam kes ini.

“Dua lelaki tempatan berusia 28 dan 30 tahun itu ditahan dan direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, modus operandi bagi kedua-dua kes ini adalah dengan menggunakan perkhidmatan kurier dengan memberi maklumat palsu di dalam slip pos (consignment note) seperti alamat yang tidak wujud selain perniagaan atau syarikat yang tidak aktif.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, sepanjang tahun 2022, JKDM Zon Sabah merampas sebanyak 1.016 tan dadah bernilai RM4.34 juta.

Katanya, jumlah itu membabitkan empat jenis dadah iaitu methamphetamine, ketamin, ganja dan ketum.

“JKDM Zon Sabah juga, merekodkan dua kes tangkapan membabitkan dadah syabu dan ganja sekitar pertengahan tahun lalu.

“Rampasan itu membabitkan dadah jenis syabu seberat 52.5 kilogram manakala ganja seberat 0.34 kilogram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.89 juta,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|