Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, menegaskan rombakan Kabinet yang dibuat hari ini, adalah salah satu formula Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Ketua Menteri III yang baharu dilantik itu berkata, ia seperti yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan kemelut politik yang melanda negeri, ketika ini.
Katanya, keputusan untuk tidak memasukkan Parti Warisan (WARISAN) dan mereka yang sebelum ini terlibat dalam usaha menggulingkan Kabinet negeri juga dibuat atas persetujuan.
“Ya, ini adalah satu formula Kerajaan Perpaduan dengan rakan Kabinet yang baru termasuk tiga muka baharu daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Ia persetujuan bersama untuk tidak menerima mereka, jadi mereka kena terima hakikat, bertenang, jadilah pembangkang yang membina dan sama-sama kita tumpukan urusan membangunkan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media, selepas keluar dari Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.
Shahelmey juga dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.
Sementara itu, Shahelmey berkata, setakat ini, beliau masih belum menerima sebarang khabar daripada pimpinan UMNO berhubung tindakannya membelakangi keputusan parti bagi menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri.
Bagaimanapun katanya, ada pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin lalu, namun tiada perbincangan dibuat antara mereka.
“Saya masih ahli UMNO dan tidak mendapat sebarang khabar daripada pimpinan UMNO.
“Saya ada berjumpa dengan Datuk Presiden (Zahid) sebentar sewaktu beliau datang ke Sabah baru-baru ini, tapi tidak ada apa-apa, cuma angguk-angguk dan salam sajalah,” katanya.
Shahelmey juga mengesahkan tidak akan hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) kerana beliau bukan perwakilan selain terbabit dengan portfolio baharunya.
-Deasoka