HLD sambut Hari Kanak-Kanak Sedunia

HLD sambut Hari Kanak-Kanak Sedunia

LAHAD DATU: Tanggal 20 November setiap tahun merupakan tarikh Sambutan Hari Kanak-kanak yang diraikan di seluruh dunia.

Hari yang istimewa ini disambut untuk mempromosikan dan memperjuangkan hak kanak-kanak di seluruh dunia. Hal ini mengingatkan kita bahawa setiap kanak-kanak berhak untuk merasakan masa kanak-kanak yang gembira, selamat, sihat dan sesuai dengan zamannya.

Sambutan Hari Kanak-kanak tahun ini disambut dengan tema “Investing in Our Future Means Investing in Our Children”.

Hospital Lahad Datu (HLD) menganjurkan sambutan Hari Kanak-kanak Daerah Lahad Datu melalui Jabatan Pediatrik Hospital Lahad Datu Sambutan perasmian Hari Kanak-kanak Daerah Lahad Datu bagi tahun 2023 dirasmikan oleh Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian N.62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah.

Pengarah Hospital Lahad Datu, Dr. Andi Shamsurezal Datuk Mohd Sainal berkata,sambutan tersebut telah dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan bermanfaat dengan tujuan untuk meraikan kanak-kanak serta keluarga yang berdepan dengan cabaran penyakit kronik seterusnya dapat merakamkan penghargaan kepada mereka yang terlibat.

“Pihak hospital juga berharap program hari ini dapat merapatkan hubungan antara keluarga staf kesihatan dan masyarakat setempat sekaligus dapat menguatkan ikatan silaturahim melalui keterlibatan mereka dalam sambutan yang dilaksanakan.

“Sambutan yang dianjurkan ini juga merupakan kesempatan bagi pihak Hospital Lahad Datu untuk menghargai keluarga arwah Sharifah Khalilah iaitu seorang jururawat di unit Neonatal Intensive Care (NICU) yang telah berkhidmat dan melayani komuniti di Lahad Datu dengan sangat cemerlang,. kami ingin menzahirkan rasa hormat kepada beliau yang banyak menginspirasi orang lain untuk meneruskan semangat beliau dalam memberikan khidmat yang luar biasa kepada Masyarakat Lahad Datu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata ia juga sebagai mengabadikan kenangan dan jasa arwah yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Kak Baby’ iaitu seorang tokoh yang telah memberikan kontribusi berharga sepanjang perkhidmatannya kepada komuniti di Lahad Datu.

Menurut beliau, pemergiannya secara tiba-tiba pada 28 Mei lalu amat mengejutkan dan hal ini merupakan satu kehilangan yang besar serta sangat dirasai oleh sema ahli keluarga Jabatan Pediatrik.

Jelasnya, Allahyarham merupakan sosok persona yang baik hati kerana sering kali menghulurkan dana peribadinya sendiri dan mengumpulkan sumbangan untuk membantu keluarga pesakit yang kurang berkemampuan dengan membeli barang keperluan bayi seperti pakaian, lampin pakai buang serta keperluan-keperluan lain untuk pesakit yang sedang dirawat.

“Kami ingin menyanjung segala pergorbanan arwah dan menginspirasikan lebih ramai orang untuk meneruskan semangat arwah dalam memberikan layanan yang terbaik kepada masyarakat,”ujarnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|