Madius dinasihatkan jangan ‘bising’ dan tunggang isu MA63 terlalu awal

Madius dinasihatkan jangan ‘bising’ dan tunggang isu MA63 terlalu awal

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dinasihatkan untuk membawa isu tuntutan pemberian khas persekutuan yang melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke ruang sepatutnya dan bukan memilih untuk berbuat ‘bising’ terutamanya kepada media.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata, adalah lebih baik Madius supaya merujuk, mengadukan atau mendapatkan penjelasan kepada pihak berwajib, lebih-lebih lagi dengan kelebihan status beliau sebagai Ahli Parlimen.

“Saya mengambil maklum kenyataan beliau berkaitan Warta Kerajaan Persekutuan, Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) Negeri Sabah 2023 berkait pemberian khas kepada negeri Sabah.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen dalam kerajaan perpaduan, beliau mempunyai akses penuh dengan Perdana Menteri bagi membincangkan hal ini melalui saluran yang betul. Namun beliau sering memilih untuk ‘bising’ di sidang media dan lebih dilihat cuba menunggang isu ini.

“Madius boleh sahaja pada bila-bila masa bertemu dengan Ketua Menteri Sabah atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali bagi mendapatkan penjelasan atau melontarkan pandangan jika beliau benar ikhlas memperjuangkan isu ini, “katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tuaran itu dua hari lalu telah menyuarakan kebimbangan mengenai status formula pemberian khas sebanyak 40 peratus negeri Sabah yang dituntut daripada pihak Persekutuan.

Sementara itu, Razeef dalam kenyataan sama turut menambah, inisiatif Perdana Menteri ke-10 (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas peruntukkan pemberian khas berjumlah RM300 juta baru-baru ini adalah pendekatan penyelesaian secara interim, bagi menyelesaikan tuntutan Sabah ke atas Putrajaya dengan Madius seharusnya memahami perkara berkenaan secara tuntas.

“Seingat saya sebagai warga Tuaran, Madius pernah menjadi Ahli Parlimen dan Menteri persekutuan ketika pentadbiran Barisan Nasional dahulu. Namun mengapa pada ketika itu beliau tidak bersuara ‘selantang’ sekarang untuk mendapatkan hak 40 peratus tersebut.

“Malah beliau juga ketika menjadi Timbalan Ketua Menteri di bawah kerajaan Warisan dahulu turut bersetuju dengan pemberian khas berjumlah hanya RM53.4 juta sahaja, berbanding RM300 juta yang baru disalurkan oleh Kerajaan Perpaduan kini.

“Beliau seharusnya faham pemberian khas RM300 juta hanyalah sebagai penyelesaian interim terhadap tuntutan hasil Sabah daripada Putrajaya. Ini bermakna ia hanya penyelesaian sementara dan proses konsultasi berkenaan hasil 40 peratus adalah diteruskan,” ujarnya.

Jelas Razeef lagi, rakyat Sabah telah menunggu selama lima dekad, dan hanya di bawah kerajaan perpaduan pimpinan PMX sahaja semua pihak dapat melihat kemajuan ketara dalam pelaksanaan MA63.

Tambah beliau, perkara ini dipermudahkan lagi dengan persefahaman bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kebijaksanaan pemimpin ketiga-tiga pemimpin ini telah membawa kepada kemajuan pelaksanaan pelbagai perkara yang menjadi tuntutan perjanjian yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sebagai anak Sabah, saya juga tetap mahu isu 40 peratus pemberian khas ini dipenuhi. Namun sebagaimana yang disebutkan oleh Menteri Kewangan Sabah dalam Sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, dalam kita terus menuntut, kita juga perlu berterima kasih kerana sekurang-kurangnya kadar pemberian khas ini telah meningkat dari hanya RM26.7 juta sejak 50 tahun lalu, kepada RM300 juta kini.

“Paling penting YAB Perdana Menteri telahpun menzahirkan bahawa jumlah ini akan terus ditingkatkan,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|