MPV terbabas, wanita warga emas parah

MPV terbabas, wanita warga emas parah

KIMANIS: Seorang wanita warga emas parah manakala lapan penumpang yang lain terselamat apabila kenderaan serba guna (MPV) dinaiki mereka terbabas sendiri dalam kejadian di Jalan Papar-Keningau, dekat sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.51 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi untuk tujuan operasi menyelamat.

“Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer daripada balai.

“Laporan awal kemalangan ini melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza terbabas sendiri di bahu jalan lalu terbalik di mana terdapat sembilan orang mangsa terlibat.

“Seorang mangsa perempuan berusia 71 tahun didapati tersepit di bahagian kaki berjaya dikeluarkan bomba dan dipercayai mengalami cedera parah seterusnya dihantar ke Hospital menggunakan Ambulans (KKM).

“Manakala lapan orang mangsa yang dikeluarkan dengan bantuan orang awam dalam keadaan selamat, “katanya. Jelasnya, operasi terbabit ditamatkan sekitar jam 3.53 petang.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|