GLC, koridor pembangunan ekonomi perlu strategik bangunkan ekonomi negeri Sabah

GLC, koridor pembangunan ekonomi perlu strategik bangunkan ekonomi negeri Sabah

KOTA KINABALU: ADUN Yang diLantik, Datuk Raime Unggi menyuarakan cadangan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah dan koridor pembangunan ekonomi perlu mempunyai keberanian untuk anjakan deras di negeri ini.

Menurut beliau, kesemua GLC dan koridor yang terlibat mampu menyumbang kepada pemangkin dan menjana pembangunan ekonomi negeri ke ara negara berpendapatan tinggi.

“Saya melihatnya usaha mewujudkan pelan pembangunan ekonomi koridor merupakan usaha mencapai pembangunan yang berdaya saing dan berdaya tahan.

“Dalam masa yang sama, pelan koridor pembangunan bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di wilayah koridor pembangunan yang telah dikenalpasti.

“Soalnya di sini setakat mana kehadiran GLC-GLC ini dalam pembangunan koridor ekonomi Sabah telah berjaya mentransformasi masyarakat luar bandar?

“Jadi saya hendak mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk melihat semula tiga sub-wilayah khusus di negeri ini untuk memberi tumpuan kepada penggunaan sumber secara optimum dalam usaha membangunkan dan memperluaskan kegiatan ekonomi yang berpotensi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Belanjawan Sabah 2024 bersempena sidang DUN Sabah ke-16 di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai langkah membasmi kemiskinan di Sabah, Raime berkata, ia perlu mempunyai satu mekanisme yang tuntas dan kerjasama daripada semua pihak dalam menjayakan aspirasi kerajaan.

Jelasnya lagi, mengikut Perangkaan Pendapatan Isi Rumah (HIS) dan Kemudahan Asas (BA) pada 2019 menunjukkan bahawa Sabah mempunyai perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata terendah mengikut negeri-negeri.

“Saya difahamkan pada tahun 2023 ini, anggaran kadar perbelanjaan isi rumah bulan di Sabah adalah sekitar RM2,980, masih lagi terendah berbanding negeri-negeri lain.

“Dapatan yang sama turut mencatatkan Sabah punya kadar insiden kemiskinan mutlak tertinggi iaitu 25.3 peratus, tidak kira di kawasan bandar dan luar bandar berbanding negeri-negeri lain.

“Kebanyakan rakyat Sabah bekerja sebagai petani dan nelayan yang hanya berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan. Ini belum lagi mengambil kira ahli-ahli keluarga dalam isi rumah itu. Akibat kemiskinan yang tinggi ini, ia memberi kesan terhadap golongan wanita dan kanak-kanak sebagai contohnya,” katanya.

Beliau turut mengulas, pendedahan statistik tersebut tidak boleh dibiarkan meskipun sudah memang benar berlaku kerana ia telah menyebabkan tahap mobiliti pendidikan sangat terkesan dan akhirnya mencipta kemiskinan demi kemiskinan di negeri Sabah.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|