The Crocker Range Festival martabat industri pelancongan Keningau

The Crocker Range Festival martabat industri pelancongan Keningau

KENINGAU: The Crocker Range Festival dapat memartabatkan kembali industri pelancongan sekaligus mengetengahkan budaya etnik pelbagai suku kaum di daerah Keningau, kata Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik.

Katanya, budaya etnik yang diwarisi sangat berpotensi menjadi produk pelancongan budaya yang boleh ditonjolkan kepada para pelancong asing.

Justeru itu katanya, keunikan adat resam etnik pelbagai suku kaum perlu terus dipertahankan dan diperjuangkan hingga ke akhir zaman.

“Menjadi cabaran yang cukup besar kepada kita semua dalam menghadapi arus kemajuan teknologi masa kini untuk terus memelihara, mengekal dan menyuburkan minat masyarakat supaya tegar menghargai produk tempatan terutama program-program kebudayaan serta seni dan warisan etnik”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan The Crocker Range Rhythm of Symphony 2023 di Dataran Keningau dekat sini.

Robert berkata, pembangunan industri pelancongan berasaskan teknologi digital juga digalakkan berikutan kemajuan teknologi dapat mengukuhkan jaringan antara industri serta membuka jalan bagi sub-sektor inovatif baharu yang akan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor itu juga memuji usaha Pejabat Daerah Keningau dan Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau kerana komited mempromosikan industri dan produk pelancongan di daerah itu.

“Sudah tentu ini memberikan impak yang amat memberangsangkan kepada semua pihak, sama ada pengusaha atau pencinta industri pelancongan”, tegasnya.

Beliau juga mahu lebih banyak program seperti The Crocker Range Festival diadakan untuk menyuburkan semula semangat hidup bermasyarakat serta membina jambatan perpaduan, semangat setia kawan, keharmonian, saling hormat menghormati dan timbang rasa dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Keningau.

Katanya, melalui pameran booth entik yang disertai oleh sebanyak 10 persatuan entik yang terdapat di daerah Keningau pada festival kali ini seperti Persatuan Dusun Kujau Sabah, Persatuan Dusun Liwan Keningau, Persatuan Gana Sabah, Persatuan Komuniti Bugis Sabah keningau, Pertubuhan Murut Nabai Sabah dan lain-lain menjadi platform terbaik untuk mengenali lebih dekat adat resam budaya etnik masing-masing.

Robert juga berharap usahawan kraf dan pengusaha pelancongan mendapat manfaat daripada penganjuran The Crocker Range Festival untuk meluaskan pasaran dan menghasilkan produk yang lebih baik dalam meningkatkan kecemerlangan industri pelancongan di daerah itu.

Turut hadir di majlis itu Pegawai Daerah Keningau, Peter Jonu Moinjil, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Keningau, Mohd Fawzi Abdul Kadir dan Pengerusi Persatuan Pelancongan & Kebudayaan Keningau, Rafie Robert.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|