Gelanggang sabung ayam dimusnah

Gelanggang sabung ayam dimusnah

TAWAU: Cubaan membina gelanggang sabung ayam berjaya dipatahkan polis dalam satu serbuan di kawasan ladang sawit Kalabakan, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin berkata, struktur kayu tersebut dipercayai melibatkan aktiviti jenayah perjudian sabung ayam.

“Hasil maklumat daripada anggota Balai Polis Kalabakan, pemantauan dijalankan dan mendapati gelanggang sabung ayam tersebut baru sahaja siap dibina di kawasan terbabit.

“Serbuan yang diketuai oleh SM Marjumin, Ketua Polis Balai Kalabakan itu sendiri bersama sepasukan polis daripada Balai Polis Kalabakan telah memusnahkan dan membakar gelanggang sabung ayam tersebut.

“Gelanggang sabung ayam itu dimusnahkan agar tidak ada sebarang aktiviti menyalahi undang-undang yang akan dijalankan pada masa hadapan di kawasan terbabit.

Beliau dalam masa yang sama amat memandang serius perkara ini dan memberi amaran kepada masyarakat agar tidak sama sekali terlibat dengan aktiviti perjudian sabung ayam meskipun hanya sekadar hadir sebagai penonton.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktivit perjudian sabung ayam atau pun apa-apa keslahan jenayah boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di talian 089-752222 dan melalui aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP)” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di laman sosial rasmi Facebook IPD Tawau, hari ini.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|