Empat pengedar dadah berjaya ditahan bersama dadah seberat 1.058.87 gram

Empat pengedar dadah berjaya ditahan bersama dadah seberat 1.058.87 gram

Tawau: Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, dalam dua serbuan di daerah ini pada 6 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kesemua suspek yang berumur 21 hingga 43 tahun itu ditahan dipercayai mengedar dadah jenis syabu.

Antara suspek yang ditahan dipercayai mengedar dadah jenis syabu.

Katanya, dalam serbuan hasil risikan yang dijalankan, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau turut merampas dadah dengan nilai pasaran keseluruhan sebanyak RM65,000.

“Dalam serbuan pertama, di sebuah kawasan perumahan di dalam bandar Tawau, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 21 tahun pada jam 12.30 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan satu bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 50.24 gram daripada tubuh badan suspek,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Beliau berkata, serbuan kedua dilakukan pada jam 3.30 petang di Lorong Seraya, bandar Tawau berjaya menahan tiga individu warga asing termasuk seorang wanita berumur 31 hingga 43 tahun.

“Hasil pemeriksaan, menemukan satu bungkusan teh Cina bertulis ‘Guanyinwang’ dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 1,008.63 gram.

“Polis turut merampas sebuah kereta dipercayai digunakan oleh suspek untuk mengedar dadah dan wang tunai negara asing bernilai RM2,406,” katanya.

Katanya, ujian air kencing ketiga-tiga suspek negatif sebarang penggunaan dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Jasmin berkata, semua suspek telah ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan tamat pada esok.

“Semua dadah jenis syabu yang dirampas di bawa ke IPD Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis ketika ini sedang giat mengesan saki baki rangkaian pengedaran dadah yang dipercayai aktif di daerah Tawau dan sekitarnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|