Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri mengalu-alukan pelancaran Pusat Timbang Tara dan Pengantaraan Antarabangsa Borneo (BICAM) dalam usaha mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan profesional dan mempromosikan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) di wilayah Borneo.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, melalui program latihan, pendidikan dan pembangunan profesional, profesional perundangan tempatan akan dilengkapi dengan alat yang diperlukan untuk cemerlang dalam bidang ADR, seterusnya memperkukuh Negeri-Negeri Borneo sebagai destinasi utama perkhidmatan undang-undang di rantau ini.
“Saya berbesar hati mengetahui bahawa BICAM mempunyai objektif untuk meletakkan dirinya sebagai hab terkemuka untuk timbang tara antarabangsa dan pengantaraan, bukan sahaja di rantau Borneo tetapi juga wilayah Nusantara dan BIMP-EAGA yang lebih luas.
“Penubuhan BICAM menandakan komitmen kita untuk memupuk persekitaran kondusif bagi menyelesaikan pertikaian komersial secara cekap dan kos efektif,” katanya pada majlis pelancaran BICAM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Jeffrey Kitingan.
“Saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan, melalui Kementerian, Jabatan dan Syarikat Berkaitan Kerajaannya (GLC), menyokong usaha BICAM.
“Dengan melibatkan penimbang tara dan pengantara tempatan dan antarabangsa, kita boleh membina panel pakar yang pelbagai dan berkemahiran, meningkatkan lagi kredibiliti dan keberkesanan pusat itu, memandangkan majlis yang menyelia BICAM akan terdiri daripada ketua badan profesional di seluruh rantau ini, justeru memastikan perkongsian visi dan tadbir urus yang berkesan untuk operasi pusat itu,” katanya.
Hajiji berkata BICAM adalah bukti komitmen Negeri terhadap pembangunan modal insan, komponen utama pelan hala tuju pembangunan negeri, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Dengan mewujudkan pusat kecemerlangan, kami menyasarkan untuk memupuk modal insan yang berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi di rantau kami,” katanya.
Hajiji juga menggesa BICAM untuk mencontohi pencapaian institusi terkenal seperti Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC) dan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Hong Kong (HKIAC), yang kisah kejayaannya telah menarik pelaburan langsung asing yang besar.
“Dengan kewujudan BICAM, Sabah menjangkakan kesan limpahan, di mana pembangunan pusat ini akan merangsang pertumbuhan dalam pelbagai industri. Memandangkan kita meletakkan Sabah sebagai hab perkhidmatan untuk ADR dan perbankan, kita membayangkan ekosistem yang berkembang maju yang menyokong peguam, penimbang tara, dan pengantara, mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu kemajuan ekonomi untuk komuniti kita.
“Pelbagai inisiatif pembinaan kapasiti dalam perancangan juga berfungsi sebagai rangsangan untuk memperkasakan komuniti kita ke arah kemampanan diri dan akses yang lebih besar kepada peluang global,” katanya.
Beliau turut memuji usaha Pengerusi BICAM, Tan Sri David Wong, yang telah memainkan peranan penting dalam memacu dan menyokong penubuhan pusat itu.
-Deasoka