33 PATI dicekup dalam operasi bersepadu

33 PATI dicekup dalam operasi bersepadu

TAWAU: Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di daerah ini antara 4 hingga 8 Disember lalu.

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) yang terlibat dalam koordinasi operasi berkenaan membabitkan sebanyak 1,126 pemeriksaan individu, selain 54 pemeriksaan bot.

Menurut Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos, operasi terbabit turut menyaksikan penahanan dua wanita yang didapati memiliki dadah jenis ketamin seberat 27.2 gram.

“Operasi ini bermula pada 4 hingga 8 Disember lalu di mana terdapat 33 PATI berjaya ditahan oleh pihak Imigresen Tawau kerana disyaki terlibat kesalahan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Dalam operasi sama, dua wanita turut ditahan atas kesalahan memiliki dadah ketamin dan disiasat mengikut Seksyen 37B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Jelas beliau, operasi bersepadu berkenaan menyasarkan lokasi seperti jeti, premis niaga, pasar dan kawasan tertumpu yang melibatkan aktiviti barang kawalan serta bersubsidi.

Victor pada masa yang sama turut merakamkan penghargaan kepada 200 petugas daripada pelbagai agensi yang terlibat dengan operasi terbabit.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|