Wanita disamun sebelum dibunuh

Wanita disamun sebelum dibunuh

Tawau: Wanita yang ditemui maut di Kampung Titingan, di sini, malam tadi dipercayai disamun sebelum dibunuh dengan lehernya dikelar menggunakan objek tajam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 malam.

Superintendan Champin Piuh

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 30 tahun bersama anaknya berusia satu tahun daripada rumah sewanya menuju ke rumah kakaknya di seberang jalan untuk mengambil sayur.

“Sebaik tiba di lorong gelap, mangsa dipercayai disamun dan berlaku pergelutan sebelum dicederakan di bahagian leher menggunakan objek tajam.

“Mengikut saksi iaitu anak mangsa, rantai leher dan anting-anting emas yang dipakai ibunya hilang ketika mayatnya ditemukan,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan polis lebih menjurus kepada pelakunya dan mengesan suspek yang terlibat dengan kes bunuh berkenaan.

“Kami mendapati suspek mengambil kesempatan menyamun mangsa kerana lokasi kejadian yang gelap dan tiada rumah yang berdekatan.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti dan mengesan suspek kejadian,” katanya.

Tambah beliau, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Zam Zarina Asri, bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sebelum itu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 24 saat memaparkan kanak-kanak perempuan menangis di sisi mayat wanita terbabit yang terbaring dengan berlumuran darah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|