Wanita tidak sedarkan diri, terkunci dalam kereta

Wanita tidak sedarkan diri, terkunci dalam kereta

Kota Kinabalu: Seorang pemandu wanita ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan di Jalan Kolombong, berhampiran Borneo Sports Arena (BSA), di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa berusia 37 tahun dilihat terkunci dalam kereta Perodua Viva sebelum dibantu oleh orang awam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.28 malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati sudah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Pasukan operasi terus membuat rawatan awal sehingga mangsa berada dalam keadaan separuh sedar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menghantar mangsa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan selanjutnya.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.03 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|