Tumpu Bajet 2023 atau PRU-15

Tumpu Bajet 2023 atau PRU-15

Mana yang lebih penting dan harus didahulukan, Bajet 2023 atau Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

Dua perkara yang berkait rapat dengan kepentingan negara itu menjadi perhatian dalam minggu ini berikutan desas-desus Parlimen dibubarkan sebelum pembentangan Bajet 2023.

Jika itu berlaku, pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat yang dijadualkan pada jam 4 petang ini, Jumaat, 7 Oktober 2022 tidak akan berlaku.

Namun, sehingga malam tadi, tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Istana Negara mengenai pembubaran Parlimen selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Merujuk hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara lewat petang semalam, sesi menghadap itu adalah untuk mesyuarat Pra-Kabinet yang menjadi antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berhubung urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

Tiada disentuh mengenai pembubaran Parlimen seperti spekulasi yang timbul berikutan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong itu ketika seluruh negara hangat dengan khabar kemungkinan besar sesi Parlimen ketika ini bakal berakhir minggu ini.

Sebelum itu, berita mengenai Ismail Sabri menghadap Agong mendapat liputan meluas media berikutan kemungkinan beliau mempersembahkan pembubaran Parlimen bagi mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Desas-desus pembubaran Parlimen sebelum pembentangan Bajet 2023 timbul selepas UMNO sebelum ini membuat ketetapan agar PRU-15 diadakan pada tahun ini juga, iaitu sebelum bencana banjir musim tengkujuh melanda negara.

Bagaimanapun, Kabinet kerajaan Pusat berbelah bahagi terhadap cadangan untuk mengadakan PRU-15 pada tahun ini berikutan 12 menteri mewakili Perikatan Nasional (PN) membantah cadangan itu atas alasan banjir.

Banjir di kebanyakan negeri terutama di pantai timur dan selatan Semenanjung diramal berlaku ketika perubahan musim ke Monsun Timur Laut atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh bermula pertengahan November depan.

Pihak pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH) turut menyuarakan bantahan terhadap cadangan membubarkan Parlimen tahun ini dengan alasan yang sama dan menegaskan tiga kerajaan negeri yang ditadbir mereka iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan dibubarkan jika Parlimen dibubar tahun ini.

Di Sabah, isu bila PRU-15 tidak membimbangkan sangat, sama ada tahun ini atau tahun depan kerana ia hanya membabitkan kawasan Parlimen, selain situasi politik yang berbeza berbanding dengan Semenanjung.

Namun, jika terjadi pembubaran Parlimen sebelum pembentangan Bajet 2023 seperti spekulasi yang tersebar, kebaikannya proses demokrasi bagi memilih kerajaan baharu dapat dipercepatkan dan selesai sebelum tahun baharu 2023.

Ia bermakna ketidaktentuan politik ketika ini dapat diselesaikan lebih awal agar kerajaan baharu dapat menumpukan sepenuhnya kepada usaha memulihkan ekonomi.

Bagaimanapun, memandangkan tiada pengumuman mengenai pembubaran Parlimen setakat ini, pembentangan Bajet 2023 nampaknya bakal diadakan seperti dijadualkan petang ini.

Apabila dibentangkan, ia mengambil masa sehingga akhir November depan untuk dibahas di Dewan Rakyat sebelum proses kelulusan dibuat bagi membolehkan belanjawan negara untuk tahun depan dikuatkuasa dan dilaksanakan.

Lazimnya, bajet kerajaan persekutuan mendapat perhatian penting dan ditunggu-tunggu semua lapisan rakyat berikutan banyak perkara yang akan diumumkan membabitkan kepentingan rakyat dan negara yang akan dilaksanakan pada tahun depan.

Paling ditunggu-tunggu pengumuman bonus untuk kakitangan awam, bantuan tunai untuk rakyat dan pelbagai lagi insentif atau kemudahan yang diberikan kerajaan kepada rakyat pada tahun depan.

Turut ditunggu-tunggu ialah pengumuman mengenai pelaksanaan projek pembangunan persekutuan pada tahun depan, lebih-lebih lagi di Sabah terutama yang berkaitan dengan projek infrastruktur seperti jalan raya, projek Lebuhraya Pan Borneo, pembinaan sekolah, bekalan elektrik luar bandar dan bermacam lagi.

Rakyat Sabah juga pasti tidak sabar menunggu sekiranya ada pengumuman mengenai peruntukan khas dan lain-lain yang berkaitan dengan pengembalian hak rakyat negeri ini seperti dituntut dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Memandangkan bajet kali ini dianggap sebagai ‘bajet pilihan raya’ berikutan PRU-15, ramai meramalkan peruntukan luar biasa dan pengumuman yang menggembirakan rakyat bakal dibentangkan.

Jadi petang ini, setelah spekulasi pembubaran Parlimen tidak menjadi kenyataan, fokus seluruh negara bakal tertumpu kepada pembentangan Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Setelah Bajet 2023 diluluskan dan selesai persidangan Parlimen kali ini, soal pembubaran Parlimen pula kembali menghangat suasana dan kemungkinan pembubaran boleh berlaku pada Disember depan atau selepas itu.

Namun, pada masa itu teka teki bila PRU-15 sudah tidak lagi penting kerana tempoh kerajaan semasa semakin di ambang penghujungnya memandangkan usia Parlimen sekarang akan berakhir pada Mei tahun depan dan PRU-15 mesti diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2023.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|