Rumah Kita, jangan dipecahkan: Pemuda PBS

Rumah Kita, jangan dipecahkan: Pemuda PBS

1. Kenyataan Tan Sri Pandikar Amin Mulia baru-baru ini mengenai kedudukan USNO dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) wajar dilihat dalam semangat keterbukaan. Sebagai gabungan politik tempatan yang unik, GRS lahir daripada usaha parti-parti Sabah untuk bersatu setelah melalui fasa politik yang tidak menentu. Ketika kita semakin menghampiri pilihan raya negeri, keutamaan harus diberi kepada kekuatan dan perpaduan, bukan membuka ruang kepada perpecahan.

2. Di bawah kepimpinan kolektif presiden-presiden parti komponen yang diketuai YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, kita telah membina sebuah rumah baharu. Rumah ini mungkin tidak sebesar rumah lama yang pernah kita diami bersama, namun ia dibina atas semangat dan kepercayaan sesama anak Sabah. Ini adalah rumah kita, jangan dipecahkan.

3. GRS telah membuktikan bahawa nilai dan penghormatan dalam gabungan tidak hanya diukur berdasarkan bilangan kerusi. Beberapa parti yang belum mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri tetap diberi peranan penting, baik dalam pentadbiran negeri mahupun mewakili Sabah di platform serantau. Ini mencerminkan keikhlasan serta gaya kepimpinan yang inklusif dalam GRS.

4. Maka apabila timbul suara gusar menjelang musim pilihan raya, wajarlah kita bertanya secara tenang: adakah keresahan ini berpunca daripada prinsip, atau kerana angin politik mula berubah?

5. Perbezaan pendapat adalah lumrah. Namun ia harus ditangani dengan kebijaksanaan, sebagaimana layaknya seorang negarawan. Kita tidak mahu kegusaran kecil hari ini meretakkan kepercayaan yang telah sekian lama dibina dalam kalangan anggota GRS, termasuk rakyat yang kini meletakkan harapan kepada kita.

6. Tan Sri Anifah Aman, Presiden PCS merangkap tokoh GRS, pernah berkata di Dewan Rakyat: “Apa gunanya rumah besar itu melompat ke rumah yang kecil, tetapi kalau rumah yang besar itu tidak ada ruang bagi kita, apa salahnya?”

7. Dahulu, kita pernah bersama dalam rumah besar itu. Tetapi hari ini, kita telah membina rumah kecil sendiri. Ia mungkin tidak semewah dahulu, tetapi inilah rumah kita. Kitalah yang harus mempertahankannya.

8. Sejarah tidak hanya mencatat siapa yang menang ketika senang, tetapi siapa yang bertahan dan bersatu ketika diuji. Dalam waktu tenang, semua tampak seperti pemimpin. Namun dalam saat genting, barulah kita mengenal siapa yang benar-benar memikul amanah dengan jiwa.

9. Sebagai generasi muda dalam GRS, saya menaruh harapan agar semua pemimpin gabungan ini, termasuk tokoh berpengalaman seperti Tan Sri Pandikar, akan terus dilihat sebagai penyatu rakyat Sabah. Bukan sebaliknya.

10. Marilah kita kekalkan perpaduan ini. Rumah kecil ini tidak sempurna, tetapi inilah rumah kita. Dan masa depan Sabah bergantung kepada bagaimana kita memeliharanya bersama.

Oleh: Christoper Mandut, Ketua Pemuda PBS

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|