PRU-15 ketika musim banjir? Apa bezanya?

PRU-15 ketika musim banjir? Apa bezanya?

Spekulasi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin dekat hangat diperkatakan akhir minggu lalu susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembubaran Parlimen yang akan dibuat tidak lama lagi.

Di pihak UMNO dan Barisan Nasional (BN), mereka menjangkakan PRU-15 diadakan antara Oktober hingga Disember depan, manakala parti lain ada juga meramalkan proses demokrasi itu hanya akan berlaku tahun depan.

Bagi pandangan penulis, musim tengkujuh atau tidak bukanlah perkara utama dalam menentukan PRU-15 memandangkan tempoh Parlimen sekarang sudah hampir pada penghujungnya, iaitu kira-kira 10 bulan sahaja lagi.

Maknanya, awal atau lambat, PRU-15 tetap berlaku dalam tempoh 10 bulan itu atau paling lewatpun sehingga 60 hari selepas tamat tempoh Parlimen Ke-14, kecuali jika darurat diisytiharkan semula yang membolehkan pilihan raya ditangguhkan walaupun tempoh kerajaan semasa sudah berakhir.

Keadaan itu berlaku di Sarawak bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang diadakan pada Disember tahun lalu walaupun tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-11 negeri itu berakhir pada 7 Jun 2021.

PRN-12 Sarawak hanya dapat diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menamatkan darurat akibat penularan Covid-19 di negeri itu pada awal November tahun lalu.

Di Sabah, dua kawasan pilihan raya iaitu Parlimen Batu Sapi dan DUN Bugaya yang kosong akibat kematian wakil rakyatnya pada akhir 2020 sehingga kini belum diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) walaupun darurat Covid-19 di seluruh negara ditamatkan pada awal tahun ini.

Ada pendapat mengatakan ia mungkin disebabkan pengisytiharan darurat yang dibuat khusus untuk kedua-dua kawasan pilihan raya itu sebelum ini belum ditamatkan atau kemungkinan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merancang menyekalikannya dengan PRU-15.

Itu antara contoh perkara yang boleh menyebabkan PRU-15 ditangguhkan walaupun sudah tamat tempoh Parlimen yang ada sekarang, namun peratus kemungkinan itu berlaku adalah amat kecil.

Namun, susulan spekulasi PRU-15 dijangka berlaku sebelum akhir tahun ini, ada pihak menyuarakan pilihan itu sebagai kurang sesuai memandangkan seluruh negara bakal berdepan ancaman banjir musim tengkujuh.

Menerusi beberapa kenyataan sejak kelmarin, parti komponen Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju PRU-15 diadakan ketika seluruh negara dilanda tengkujuh dengan alasan menyusahkan rakyat yang berdepan bencana banjir.

Pemilihan tarikh PRU menjelang hujung tahun juga dikatakan jarang berlaku sebelum ini atas alasan yang sama.

Bagaimanapun, semakan penulis mendapati PRU-10 diadakan pada 29 November 1999, menunjukkan rakyat negara ini pernah mengundi pada musim tengkujuh.

Kempen pilihan raya pada masa itu berlangsung sepanjang seminggu sebelum itu pastinya berlaku dalam suasana musim tengkujuh terutama di negeri pantai timur Semenanjung.

Hanya selepas itu, iaitu bermula PRU-11 pada 2004, pilihan raya diadakan di luar musim tengkujuh iaitu pada Mac bagi PRU-11 (2004) dan PRU-12 (2008), manakala pada Mei bagi PRU-13 (2013) dan PRU-14 (2018).

Bagi Sabah, sama ada PRU-15 diadakan menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan, suasana musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut tetap sama memandangkan kedatangan musim berkenaan di negeri ini bermula agak lewat dan berterusan sehingga Februari atau Mac.

Selain itu, fenomena cuaca yang tidak menentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut menyaksikan kejadian hujan lebat dan banjir di luar musim tengkujuh, malah di sesetengah tempat seperti di Tenom dan Beaufort, banjir boleh berlaku hampir setiap bulan akibat limpahan air Sungai Padas.

Itu belum mengambil kira lagi bencana lain seperti ribut dan gempa bumi yang boleh berlaku tanpa mengira masa.

Justeru, sama ada PRU-15 diadakan pada musim tengkujuh atau tidak bukanlah perkara yang merunsingkan sangat, terutama yang membabitkan kelancaran proses berkempen dan peratusan keluar mengundi.

Parti-parti politik atau calon yang bertanding sudah pasti mempunyai inisiatif sendiri dalam melaksanakan kempen masing-masing dan memudahkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab walau dalam apa situasi sekalipun.

Malah, ada juga pendapat mengatakan kempen pilihan raya ketika musim banjir lebih berkesan dalam menarik perhatian pengundi memandangkan calon dan parti politik pasti bekerja keras membantu pengundi yang terjejas akibat bencana alam itu.

Maknanya, parti mana yang aktif membantu rakyat pasti mendapat kelebihan untuk meraih undi dalam memburu kemenangan pilihan raya.

Soal sama ada bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat bencana alam dibolehkan atau tidak ketika kempen pilihan raya, ia terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukannya berdasarkan peraturan pilihan raya dan pertimbangan kemanusiaan.

Cuma, SPR perlu membuat persediaan lebih rapi dan perbelanjaan lebih besar khususnya dalam aspek logistik dan penyediaan pusat mengundi bagi memastikan perjalanan PRU-15, terutama proses pengundian berjalan lancar walaupun berdepan banjir.

Namun, apa yang jelas, PRU-15 perlu diadakan sama ada negara berdepan musim tengkujuh atau tidak bagi mendapatkan mandat baharu rakyat untuk membentuk kerajaan baharu yang lebih stabil berbanding apa yang berlaku sekarang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|