Persoalan GRS sudah terjawab, harapan rakyat Sabah perlu ditunai

Persoalan GRS sudah terjawab, harapan rakyat Sabah perlu ditunai

Pelbagai persoalan mengenai keanggotaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah terjawab Jumaat lalu menerusi pengumuman pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor selepas mesyuarat pertama penaja gabungan berkenaan di Kota Kinabalu.

Jelaslah sudah, GRS hanya dianggotai empat parti, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Datuk Seri Hajiji Noor

Kempat-empat parti itulah yang membentuk GRS sebagai sebuah gabungan baharu politik rasmi di Sabah selepas pendaftarannya diterima Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada minggu lalu.

Sebelum didaftarkan, GRS sinonim dengan kerjasama politik di antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS yang dibentuk ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada September 2020 sebelum memenangi pilihan raya berkenaan.

PN dalam gabungan tidak rasmi itu terdiri daripada BERSATU, PAS, STAR dan SAPP, manakala BN merangkumi UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Bagaimanapun, parti komponen BN tidak menyertai gabungan rasmi berkenaan tetapi kekal sebagai rakan GRS dalam kerajaan negeri, manakala PAS Sabah dianggap rakan melalui kapasitinya sebagai komponen PN.

Maknanya, selepas didaftarkan tiada lagi istilah PN dan BN dalam gabungan berkenaan, sebaliknya yang ada hanyalah parti politik yang bekerjasama atas nama GRS untuk menggerakkan kerajaan negeri sedia ada.

Meskipun persoalan mengenai keanggotaaan GRS sudah terjawab, timbul lagi persoalan baharu mengenai kedudukan gabungan itu pada pilihan raya akan datang bermula dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir.

Dengan UMNO dan BN tidak berada dalam GRS, timbul andaian mengenai kemungkinan GRS bakal bertembung dengan BN memandangkan masing-masing menggunakan lambang sendiri selain mengambil kira pendirian BN Pusat yang tidak bekerjasama dengan pakatan lain dalam pilihan raya.

Selepas didaftarkan, GRS kini boleh digerakkan menggunakan imejnya sendiri yang dilihat lebih bersifat tempatan sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang hanya menggunakan satu lambang pada PRN negeri itu akhir tahun lalu.

Meskipun masih boleh berkongsi lambang walaupun hanya sebagai rakan sekutu, BN Sabah sudah pasti akan menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya akan datang kerana yakin dengan kekuatan lambang BN untuk menambat pengundi Sabah.

Sukar dinafikan apa saja boleh terjadi pada masa akan datang seperti kepercayaan bahawa politik adalah sesuatu yang sukar diduga atau serba mungkin, tentu juga tidak mustahil rakan sekutu boleh berlawanan satu hari nanti.

Datuk Seri Bung Moktar Radin

Namun, Ketua UMNO Sabah selaku Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin sudah menjelaskan UMNO dan BN tetap menyokong GRS dan kekal sebagai rakan sekutu walaupun tidak berada bersama dalam gabungan berkenaan.

Meskipun tidak menyatakan pendirian terbaharu berhubung kerjasama pada pilihan raya akan datang, kenyataannya itu memberi gambaran bahawa UMNO BN komited meneruskan kerjasama dalam usaha mengekalkan kerajaan sedia ada demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Bung Moktar sebelum ini pernah menjelaskan yang UMNO BN juga tidak mahu berlaku pertembungan sesama rakan sekutu, namun sejauh mana perkara itu dapat dicapai tentunya tertakluk kepada hasil perbincangan dengan pemimpin GRS.

Bagaimanapun, rakyat Sabah sememangnya memahami situasi politik negeri ini yang bersifat dinamik atau sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa dan tidak kisah sangat soal siapa yang memimpin, kecuali mereka yang benar-benar taksub dengan politik.

Sebaliknya, semua pihak sememangnya sedar bahawa rakyat Sabah sentiasa menagih pembaharuan atau pembangunan dan memang itu yang disuarakan sejak sekian lama berikutan keadaan negeri ini yang masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri lain.

Pelbagai isu seperti kemiskinan, infrastruktur, kemudahan asas air, elektrik dan jalan raya yang bermasalah, kurang peluang pekerjaan, kos hidup yang tinggi berikutan harga barangan yang mahal dan pelbagai lagi isu sosio ekonomi kekal menjadi rungutan yang diwarisi sejak berpuluh tahun lalu.

Inilah masanya GRS bersama rakan sekutunya membuktikan bahawa gabungan berkenaan benar-benar mampu menunaikan harapan rakyat Sabah terhadap pembangunan dan penyelesaian semua masalah yang dihadapi di Sabah ketika ini.

Sebelum ini, banyak suara mendesak agar GRS dijadikan gabungan rasmi kerana percaya pendaftaran gabungan itu menjadikan politik lebih stabil dan kerajaan negeri lebih selesa melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.

Tumpuan sekarang tentunya adalah untuk memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 termasuk mencari peluang baharu yang dapat membawa kesan positif kepada Sabah, lebih-lebih lagi dengan pembukaan sempadan negara mulai 1 April ini.

Selain menarik pelaburan baharu menerusi inisiatif Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan sejak tahun lalu, pakar ekonomi turut melihat potensi besar Sabah dalam memanfaatkan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur.

Sebagai negara besar di Asia Tenggara, kedudukan ibu negara baharu yang dipanggil Nusantara itu membawa kelebihan kepada Sabah dan Sarawak yang berjiran dengannya jika kena dengan caranya.

GRS sebagai kerajaan yang memerintah Sabah hari ini perlu melihat semua peluang itu sebagai potensi untuk mengembangkan ekonomi melalui pelbagai pendekatan yang dilihat mampu memberi kesan positif.

Pembukaan pintu sempadan baharu bagi menghubungkan Kalimantan dengan Sabah melalui jalan raya adalah antara pendekatan yang dapat menggalakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan dan ramai yang menyokong agar usaha itu dipercepatkan.

Begitu juga dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, selain untuk keselesaan perhubungan rakyat negeri ini, projek itu dilihat mampu menyokong jaringan perhubungan antara wilayah di Borneo yang dapat merancakkan aktiviti ekonomi dan wajar dipercepatkan.

Meskipun sebuah gabungan baharu, GRS bersama rakan sekutunya pasti mampu membawa perubahan dan menjadi suara yang kuat dalam menuntut hak rakyat Sabah menerusi isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jika ia digerakkan dengan baik oleh pemimpinnya.

Perbezaan pendirian politik berikutan berbeza parti sama ada dalam gabungan atau dengan rakan sekutu tidak harus menjadi penghalang dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat dan negeri.

Pandangan yang mengatakan politik biarlah bermusim mungkin boleh dijadikan panduan kerana rakyat sudah bosan melihat pemimpin dan parti politik hanya berpolitik sepanjang masa, antara punca Sabah terus ketinggalan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|