PAS Sabah dakwa tiada perbincangan mengenai pendaftaran GRS

PAS Sabah dakwa tiada perbincangan mengenai pendaftaran GRS

Kota Kinabalu: PAS Sabah mendedahkan tidak ada perbincangan secara terperinci berhubung pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini secara rasminya dianggotai hanya empat parti seperti yang diumumkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, pada Jumaat lalu.

Sehubungan itu, Setiausaha PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan berkata, pihaknya merancang untuk bertemu dengan Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah bagi mengetahui kedudukan parti itu dalam GRS.

Aliakbar menyempurnakan gimik perasmian Program Tukar Minyak Enjin, di pekarangan Surau Austral, Kota Kinabalu.

Katanya lagi, pertemuan itu akan diadakan dalam waktu terdekat bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung kandungan GRS walaupun secara prinsipnya penubuhan GRS telah dipersetujui oleh seluruh parti komponen yang berada di dalamnya ketika dibentuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

“Bagaimanapun, kita melihat perkembangan ini sebagai satu perkara yang perlu diteliti semula dan di peringkat PAS Sabah akan bertemu sendiri dengan Pengerusi GRS sebab kita pun mendapat maklumat hanya melalui media.

“Kita akan bertemu dengan Ketua Menteri secara bersemuka untuk membincangkan dan memperincikan kandungan GRS yang sudah didaftarkan selain untuk mengetahui bagaimana kedudukan PAS Sabah dalam GRS,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Tukar Minyak Enjin, di pekarangan Surau Austral, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan PAS Sabah dalam GRS selepas Hajiji mengumumkan hanya empat parti yang menganggotai gabungan itu pada Jumaat lalu.

Beliau turut menjelaskan bahawa di peringkat Pusat, PAS adalah sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun untuk GRS sejak dari awal PAS Sabah menyokong sepenuhnya untuk tujuan pendaftarannya.

“Sebab itu kita mahu tengok kedudukan kita bagaimana, adakah kita di kalangan yang berada di luar kerana kita masih berada di dalam komponen PN bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di peringkat Pusat.

“Jadi kita mengambil keputusan untuk bertemu dengan Datuk Seri Hajiji tetapi secara prinsipnya kita dengan PN dan kita tidak terpisah daripada komponen BERSATU, cuma dari segi struktur GRS kita tidak mendapat sebarang maklumat yang lebih tepat,” katanya.

Jumaat lalu, Hajiji mengumumkan GRS kini dianggotai empat parti iaitu Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

GRS sebelum ini dibentuk secara tidak rasmi dengan kerjasama PN, Barisan Nasional (BN) dan PBS bagi menghadapi PRN Sabah pada September 2020 sebelum berjaya membentuk kerajaan selepas menewaskan Parti Warisan (Warisan) yang bergabung bersama Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|