Warga emas dikhuatiri hilang ketika cari sayur

Warga emas dikhuatiri hilang ketika cari sayur

Tambunan: Seorang warga emas dikhuatiri hilang di hutan Kampung Tikolod, di sini, selepas tidak pulang ke rumahnya sejak tiga hari lalu.

Wanita dikenali sebagai Bibia Angkangon yang berusia 63 tahun terbabit dikatakan masuk ke hutan untuk mencari sayur-sayuran kira-kira jam 11 pagi, Khamis lalu.

Antara kesan yang dipercayai laluan digunakan mangsa ditemui di dalam kawasan hutan berkenaan. Pix Ihsan Bomba

Bagaimanapun, mangsa hanya disedari belum pulang ke rumah dua hari selepas itu apabila ahli keluarga yang menyedari kehilangannya terus menghubungi pasukan bomba dan penyelamat untuk mendapatkan bantuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.20 malam.

Pasukan operasi memulakan taklimat sebelum operasi mencari mangsa dijalankan membabitkan unit anjing pengesan JBPM, Pasukan RELA dan dibantu penduduk kampung. Pix Ihsan Bomba

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera kemudiannya dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Turut dikerah ke lokasi kejadian pasukan Unit Pengesan Anjing K9 untuk membantu mengesan mangsa di sekitar kawasan hutan berkenaan.

“Operasi pencarian yang dijalankan hari ini dimulakan pada jam 8 pagi tadi di kawasan hutan dan pesisir sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian masih berjalan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|