41 pengunjung, penjaga pusat hiburan dikompaun ingkar SOP

41 pengunjung, penjaga pusat hiburan dikompaun ingkar SOP

Keningau: Seramai 41 individu termasuk 14 wanita yang leka berhibur dikompaun dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dan Op Noda, di sebuah pusat hiburan di daerah ini, awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 1.15 pagi itu, dijalankan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Seramai 41 pengunjung dan penjaga premis pusat hiburan dikompaun dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, ketika operasi di pusat hiburan itu, premis berkenaan didapati beroperasi dengan muzik masih dimainkan dengan kuat.

Malah katanya, pengunjung masih leka menikmati minuman keras di dalam premis sambil berhibur.

Anggota polis melakukan pemeriksaan ketika operasi pematuhan SOP di sebuah pusat hiburan di Keningau, awal pagi tadi.

“Seramai 27 lelaki dan 14 wanita berusia 20 hingga 40-an diperiksa dan dikompaun kerana tidak mengikuti SOP ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKTJ) PPN 2021.

“Seterusnya penjaga premis ditahan kerana beroperasi tanpa lesen yang sah dan disiasat mengikut Ordinan Hiburan Awam 1958,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Antara peralatan muzik yang dirampas.

Nor Rafidah berkata, polis turut merampas beberapa peralatan muzik di premis berkenaan.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai serta premis-premis dinasihatkan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan dalam PPN bagi memastikan diri, keluarga dan masyarakat kekal selamat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|