Aliakbar bahas isu setinggan, PATI pada sidang DUN

Aliakbar bahas isu setinggan, PATI pada sidang DUN

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan akan membangkitkan isu penempatan setinggan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang bermula esok.

Katanya, dua isu berkenaan sudah berlanjutan sejak sekian lama dan ia perlu dibangkitkan demi menjaga hak rakyat di negeri ini.

“Saya akan berbahas esok, antara yang dibangkitkan adalah soal sosio ekonomi masyarakat dan juga perkembangan semasa iaitu termasuk isu susun atur penempatan terbabit dengan kebakaran yang kita lihat bersiri di Sabah.

“Perkara ini sudah lama, perkampungan atas air perlu disusun dan setinggan perlu ditangani segera. Kita tidak mahu mereka ini dianaktirikan, kerajaan pandang sebelah mata,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Tukar Minyak Enjin, di pekarangan Surau Austral, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas antara isu yang akan dibawa pada persidangan DUN yang berlangsung selama empat hari hingga Khamis depan.

Tambah beliau lagi, isu penempatan setinggan juga berkait rapat dengan isu PATI di negeri ini.

“Saya lihat isu setinggan ini banyak disokong oleh PATI, jadi kita tidak mahu rakyat tempatan menjadi anak tiri kerana kehadiran PATI.

“Jadi keseluruhan itu antara perkara yang akan saya bahaskan dalam sidang DUN nanti,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung program yang dihadirinya, Aliakbar yang juga Setiausaha PAS Sabah berkata, seramai 50 penghantar makanan menerima sumbangan dan perkhidmatan menukar minyak enjin motosikal masing-masing.

“Kita berikan minyak enjin dan perkhidmatan tukar minyak enjin secara percuma untuk membantu serta memberi semangat kepada penghantar makanan di sekitar Kota Kinabalu.

“Program ini adalah lanjutan daripada siri sumbangan yang dilakukan sebelum ini bagi mengurangkan beban mereka sepanjang pandemik Covid-19,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga merancang untuk memperluaskan perkhidmatan itu kepada kenderaan jenis kereta dan ia sudah dibincangkan dengan Alternatif Riding Club (ARC) sebagai sebuah kelab permotoran di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia.

“Kita akan perluaskan program ini bukan hanya dalam kalangan penghantar makanan tetapi juga kepada penunggang motosikal orang awam dan pemandu perkhimatan e-hailing namun kita akan susun dari masa ke masa dan bergantung juga kepada sumbangan yang diperoleh dalam ARC,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|