Proklamasi darurat di Parlimen Batu Sapi, DUN Bugaya dibatalkan

Proklamasi darurat di Parlimen Batu Sapi, DUN Bugaya dibatalkan

Kota Kinabalu: Proklamasi darurat yang disytiharkan pada 2020 di Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya bagi menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) akibat penularan Covid-19, dibatalkan semalam.

Pembatalan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdasarkan Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan Jabatan Peguam Negara.

Ia berikutan pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 3) (Pembatalan) 2022 doleh Seri Paduka Baginda mengikut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Selain dua kawasan pilihan raya itu, pembatalan proklamasi darurat berkenaan turut membabitkan kawasan Parlimen Gerik di Perak.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober 2020, manakala DUN Bugaya kosong juga berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Manis Muka Mohd Darah pada 17 November 2020.

Vui Keong yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi atas tiket WARISAN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Manis Muka pula memenangi kerusi DUN Bugaya atas tiket WARISAN pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Sabah, pada 26 September 2020.

Berikutan pembatalan proklamasi darurat itu, pilihan raya kini boleh diadakan di kawasan terbabit serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|