PATI sembunyi dalam bangunan gagal, 45 ditahan

PATI sembunyi dalam bangunan gagal, 45 ditahan

Kota Kinabalu: Terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa, sekumpulan individu yang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak melarikan diri.

Malah ada juga yang cuba bersembunyi di kawasan bangunan yang sedang dalam pembinaan bagi mengelak daripada ditahan pasukan polis.

Kalsom bersama pegawai dan anggota serta agensi keselamatan lain berkumpul sebelum Operasi Bersepadu PATI Siri 9/2022 dijalankan.

Bagaimanapun cubaan itu gagal apabila mereka berjaya ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang menjalankan Operasi Bersepadu PATI Siri 9/2022 di sekitar Pasar kraftangan dan Pasar Malam di Jalan Sinsuran, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, matlamat operasi ini adalah untuk mengesan individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah di sekitar bandar raya ini.

Pegawai polis melakukan pemeriksaan dokumen ke atas pekerja di Pasar kraftangan Jalan Sinsuran, Kota Kinabalu.

Katanya, ketika serbuan, pasukan operasi memeriksa kira-kira 100 orang dan menahan 45 individu selepas didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Mengikut pecahan, tangkapan membabitkan 26 lelaki dan 19 wanita yang berusia 20 hingga 50 tahun.

“Semua tangkapan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui media selepas selesai operasi berkenaan.

Kalsom bersama pegawai dan anggota polis menjalankan Operasi Bersepadu PATI Siri 9/2022 di sekitar Pasar Kraftangan dan Pasar Malam Jalan Sinsuran.

Menurutnya, operasi bermula kira-kira jam 3 petang itu membabitkan seramai empat pegawai dan 27 anggota IPD Kota Kinabalu.

“Operasi turut disertai Jabatan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Operasi ini akan teruskan dari semasa ke semasa bukan sahaja untuk memastikan PATI di bandar raya ini terus dikekang tetapi memastikan jenayah dapat dibanteras,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|