Kerjasama GRS-BN: Sabah tidak mahu terbabit dengan politik di Semenanjung – Masidi

Kerjasama GRS-BN: Sabah tidak mahu terbabit dengan politik di Semenanjung – Masidi

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) Sabah mencapai kata sepakat bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana tidak mahu Sabah terbabit dengan situasi politik yang berlaku di Semenanjung.

Setiausaha GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk mengelak pertembungan politik yang tidak membawa kebaikan kepada rakyat.

“Di Sabah ini kita tidak mahu terbabit dengan apa juga politik yang berlaku di Semenanjung.

“Kita di Sabah fokus kepada pembangunan dan kerana itu kita mahu mengelakkan pertembungan politik yang tidak membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya ditemui pada majlis pecah tanah projek perumahan di Beaufort, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata demikian mengulas kerjasama di antara GRS dan BN yang sebelum ini disahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kerjasama untuk menghadapi PRU-15 itu, sebelum ini turut diumumkan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Masidi yang menjadi wakil GRS untuk berunding dengan BN mengenai kerjasama itu, berkata rundingan kedua-dua pihak adalah untuk menentukan agihan kerusi yang adil dan saksama.

Bagaimanapun, katanya persoalan utama yang dibincangkan bukan hanya jumlah kerusi tetapi untuk menonjolkan calon bersama yang diyakini boleh membawa kemenangan.

“Setakat ini hampir 90 peratus isu kita gariskan tetapi soalnya bukan berapa (kerusi), soalnya ialah kita harus menonjolkan calon bersama yang mempunyai kebarangkalian paling tinggi untuk menang, bukan soal GRS atau BN,” katanya.

Sebelum ini, kerjasama di antara GRS dan BN Sabah pada PRU-15 menjadi persoalan berikutan komposisi GRS terdiri daripada komponen parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang menjadi seteru BN di peringkat Pusat tetapi sama-sama membentuk kerajaan di peringkat negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|