PBRS tidak perlu soalkan keputusan kerjasama GRS/BN

PBRS tidak perlu soalkan keputusan kerjasama GRS/BN

Kota Kinabalu: PBRS tidak sepatutnya membangkitkan hal kerjasama GRS dan BN, sedangkan terdapat usaha pihak mereka untuk menggunakan logo serta bendera sendiri menjelang Pilihan Raya Umum ke – 15 (PRU-15) nanti.

Menurut pendedahan sumber dalaman UMNO Sabah, pihak PBRS sebenarnya telah mengutus surat kepada Pengerusi BN pusat dan menjelas pendirian mereka yang ‘seolah-olah’ mahu bertanding sendiri di Sabah.

“Bukan UMNO Sabah tidak mahu berunding, tetapi pemimpin PBRS mengutus surat kepada Presiden, Pengerusi BN (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) antara lain surat itu ingin bertanding solo dan menggunakan logo sendiri.

“Jadi macam mana mau runding kalau mereka ada matlamat yang lain?..,”kata sumber yang enggan namanya disiarkan di portal berita Deasoka.com.

Terdahulu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pemuda PBRS hari ini meluahkan kekecewaan mereka kerana mendakwa kerjasama GRS dan BN Sabah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat BN Sabah.

Perkara itu disuarakan oleh Ketua Pemuda PBRS, Edwin Laimin yang antara lain mendedahkan bahawa penentuan kerjasama terbabit juga tidak dimaklumkan oleh Badan Perhubungan BN Sabah.

“Mengikut Perlembagaan BN, Perkara 13, semua keputusan yang melibatkan kepentingan Barisan Nasional hendaklah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi BN dengan sebulat suara,”katanya.

Dakwanya lagi, PBRS bagaimanapun tidak menolak sebarang bentuk kerjasama di antara GRS dan BN Sabah, namun perlu mempunyai pembabitan bersama (PBRS) untuk mengambil kira semangat setiakawan antara komponen.

Untuk rekod, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini menjelaskan bahawa BN Sabah dan GRS telah bersiap sedia berkerjasama bagi menghadapi PRU-15 di negeri ini.

Setiausaha GRS, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berasingan turut senada dengan Bung Moktar yang mendedahkan sudah ada kesepakatan antara kedua-dua pihak pentadbir kerajaan itu untuk mengharungi PRU yang mempertandingkan 25 kerusi parlimen di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|