PEKADIN syor tubuh stesen TV Sabah

PEKADIN syor tubuh stesen TV Sabah

Kota Kinabalu: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (PEKADIN) mengesyorkan agar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengikut jejak langkah Sarawak menubuhkan stesen televisyen (TV) sendiri.

Naib Presiden PEKADIN, Simon Malubii, berkata sudah tiba masanya pemimpin GRS melakukan anjakan paradigma dalam dunia penyiaran dengan merealisasikan pewujudan TV Sabah itu.

Beliau berpendapat langkah itu penting bagi menonjol dan menyiarkan keunikan kebudayaan dan kesenian masyarakat pelbagai kaum di negeri.

Simon berkata walaupun Sabah mempunyai lebih 36 kaum dan subetnik, namun mereka sentiasa hidup aman, damai dan harmoni.

Menurutnya, TV Sabah juga boleh menjadi wadah untuk mengetengahkan bakat anak Sabah yang mencipta nama sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Pada masa yang sama ia juga membuka peluang kepada pembekal drama dan kandungan visual dari Sabah, terutama dalam mempromosi keunikan budaya masyarakat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Simon berkata kejayaan kerajaan Sarawak menubuhkan setesen TV sendiri, yang kini dikenali TVS, seharusnya menjadi inspirasi bagi kerajaan GRS menjayakan impian itu yang bakal menjadi kebanggaan lebih tiga juta penduduk Sabah.

Beliau percaya rakyat Sabah pasti menyambut baik langkah proaktif yang bakal diambil oleh kerajaan GRS seiring dengan perkembangan dan kepentingan pembangunan teknologi maklumat yang berperanan menyebarluas berita atau maklumat sahih dan cepat.

“PEKADIN optimis kerajaan GRS di bawah pimipinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mampu menjayakan misi murni ini, sekali gus memartabatkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|