Sabah kedua tertinggi kes kanser hidung, kesedaran masyarakat masih rendah

Sabah kedua tertinggi kes kanser hidung, kesedaran masyarakat masih rendah

Kota Kinabalu: Tahap kesedaran masyarakat di Sabah mengenai kanser hidung yang terlalu rendah mencetus kebimbangan, apatah lagi ia merupakan salah satu jenis kanser yang paling banyak dilaporkan di negeri ini.

Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Dr Nick Chong Hon Syn berkata, menurut data, Sabah merupakan negeri kedua tertinggi dalam Malaysia yang paling banyak penghidap penyakit ini.

Dr Nick ketika ditemui di pejabatnya di Hospital Pakar KPJ Sabah, Kota Kinabalu.

“Secara umum, tahap kesedaran mengenai kanser hidung masih terlalu rendah dan kita cuba untuk jalankan kempen kesedaran serta menjalankan pemeriksaan kesihatan besar-besaran di kawasan bersasar di mana ia akan mendapat perhatian untuk seketika sebelum kembali dilupakan.

“Justeru, saya ingin membawa fokus kepada isu ini kerana ia kerap dilaporkan dalam kalangan rakyat Sabah.

“Malah, di antara semua negeri di Malaysia, ia paling kerap dilaporkan di Pulau Pinang, diikuti dengan Sabah serta Sarawak,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Hospital Pakar KPJ Sabah, baru-baru ini.

Tegas beliau, usaha meningkatkan kesedaran umum ini amat penting agar penyakit itu boleh dikesan pada peringkat awal, selain membolehkan masyarakat mengambil langkah-langkah pencegahan.

“Majoriti pesakit agak terlewat untuk membuat pemeriksaan di hospital disebabkan simptom yang lambat dikesan.

“Lebih kurang 60 peratus pesakit yang saya lihat datang disebabkan kanser itu sudah berada di tahap ketiga, di mana mereka sudah mula mengalami simptom seperti leher yang sudah mulai bengkak,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai simptom kanser hidung, beliau berkata, pada awalnya atau tahap pertama, ia biasanya tidak menimbulkan apa-apa simptom yang ketara.

Namun, katanya, apabila simptom-simptom seperti hidung berdarah, ia berkemungkinan sudah mulai masuk ke tahap dua.

Jelasnya, simptom yang dialami oleh pengidap kanser hidung ini akan bertambah teruk apabila ia memasuki tahap ketiga dan keempat.

“Bagi kadar kelangsungan hidup, bagi pengidap kanser hidung tahap pertama, 90 peratus boleh sembuh dengan rawatan.

“Secara amnya, dua rawatan utama bagi pesakit kanser adalah radioterapi dan kemoterapi yang biasanya akan dijalankan oleh pakar kanser.

“Kedua-dua perkhidmatan rawatan ini ada disediakan di Hospital KPJ, sementara satu lagi pusat radioterapi adalah di Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS),” katanya lagi.

Tambahnya, antara faktor-faktor yang menyumbang kepada berlakunya kanser hidung ialah faktor genetik, pemakanan, persekitaran, pengambilan alkohol dan merokok.

Katanya lagi, golongan lelaki yang berada dalam lingkungan umur 50 hingga 60 tahun lebih berisiko tinggi terhadap kanser ini.

“Justeru itu, nasihat saya kepada masyarakat di luar sana, jika anda mengesan apa-apa simptom, segeralah datang untuk membuat pemeriksaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|