Bajet 2023: Ambil langkah perkasa kemampanan ekonomi belia tempatan

Bajet 2023: Ambil langkah perkasa kemampanan ekonomi belia tempatan

Kota Kinabalu: Ambil langkah memperkasa kemampanan ekonomi dalam kalangan belia menerusi Bajet 2023 bagi membantu mereka berhadapan dengan kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun hadapan.

Itu antara permintaan Majlis Belia Sabah (MBS) yang disuarakan presidennya, Abqaree Fawwaz Abekan dalam membela nasib golongan belia menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan petang ini.

Katanya, kajian yang dijalankan pihaknya terhadap golongan belia yang tinggal di kawasan bandar membuktikan bahawa mereka tidak bersedia untuk berhadapan dengan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi.

“Dapatan kajian menunjukkan bahawa belia tidak mempunyai simpanan masa depan. Oleh itu, kerajaan harus proaktif dalam memberi kesedaran awam dan pendidikan pengurusan kewangan di kalangan belia,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi menyampaikan hasrat belia dalam pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan petang ini.

Sehubungan itu, katanya, antara langkah yang boleh diambil adalah meningkatkan nilai pemberian tunai sebanyak 50 peratus melalui Bantuan Keluarga Malaysia kepada golongan B40.

“Seterusnya, memperkasa usahawa PKS melalui bantuan dana, pendidikan peningkatan skala pendapatan dan memperhebat jalinan kerjasama usahawan tempatan dengan pelabur luar.

“Selain daripada itu, menurunkan kos harga rumah kerana menerusi tinjauan MBS, belia tidak mempunyai kemampuan untuk membeli rumah.

“Terakhir sekali, MBS berharap agar kerajaan mampu memperkasa eko-pelancongan di luar bandar kerana antara penyumbang ekonomi terbesar adalah sektor pelancongan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan perlu memperhebat pendidikan pengurusan rumahtangga agar masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak dapat dielakkan.

“Berdasarkan statistik penceraian pada tahun 2021, sebanyak 4,010 pasangan telah bercerai. Angka ini menunjukkan bahawa belia masa kini kurang pendidikan mengenai pengurusan rumahtangga.

“Kebanyakan punca perceraian adalah disebabkan oleh masalah ekonomi dalam rumahtangga dan keruntuhan keluarga secara tidak langsung memberi tekanan emosi serta kesan psikologi dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Abqaree menegaskan bahawa masalah kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan susulan peningkatan 81 peratus kes bunuh diri berlaku pada tahun 2021 (1,142 kes) berbanding tahun 2020 (631 kes).

Tambah beliau, MBS turut menggesa kerajaan untuk memperhebat jaringan capaian talian internet di kawasan luar bandar bagi membantu belia luar bandar meningkatkan pendapatan ekonomi mereka melalui platform e-dagang.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual akan membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, pada jam 4 petang ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|