Waspada dengan fasa peralihan monsun

Waspada dengan fasa peralihan monsun

Kota Kinabalu: Komuniti maritim di negeri ini dinasihatkan supaya sentiasa berada dalam keadaan berwaspada berikutan ramalan yang menjangkakan negara berada dalam fasa peralihan monsun.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, negara ketika ini berada dalam fasa berkenaan bermula 3 Oktober hingga November depan.

Katanya, ia dijangka akan menyebabkan kejadian hujan serta ribut petir yang lebih kerap terutamanya di kawasan pantai timur Sabah.

“Ia juga akan disusuli dengan Monsun Timur Laut yang akan bermula pada bulan November depan dan dijangka berakhir pada Mac tahun hadapan.

“Keadaan ini akan menyebabkan air pasang besar serta laut bergelora. Kawasan timur Sabah adalah antara kawasan yang dijangka bakal terkesan dengan keadaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, berdasarkan ramalan kaji cuaca juga mendapati seluruh bahagian di Sabah dijangka menerima taburan hujan di paras perata kecuali di daerah Kudat dan Sandakan.

Katanya, kedua-dua daerah ini akan menerima taburan hujan sedikit melebihi paras purata pada bulan November dan Disember 2022.

“Justeru itu, komuniti maritim dinasihatkan untuk peka dengan amaran yang sudah atau akan dikeluarkan oleh pihak keselamatan dari semasa ke semasa.

“Pemakaian jaket keselamatan hendaklah diberi perhatian agar dapat mengurangkan sebarang risiko yang bakal berlaku.

“Komuniti maritim juga diingatkan untuk sentiasa mengutamakan keselamatan diri, memaklumkan kepada keluarga tujuan ke laut serta lokasi, memastikan bot selamat untuk digunakan dan sentiasa peka pada cuaca semasa,” katanya.

Mohd Rosli berkata, sebarang kemalangan yang berlaku di laut boleh disalurkan dengan menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan ditalian 088- 387774 yang beroperasi 24 jam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|