Tujuh remaja ditahan berhubung video tular remaja dibelasah

Tujuh remaja ditahan berhubung video tular remaja dibelasah

Kunak: Tujuh remaja ditahan selepas satu video tular memaparkan sekumpulan individu membelasah seorang remaja lelaki dalam kejadian di kawasan Tapak Tamu Pekan Kunak.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu daripada mangsa sendiri pada jam 4.08 petang hari ini.

Seorang remaja dibelasah sekumpulan remaja dalam kejadian di Tapak Tamu, Pekan Kunak, yang tular di media sosial hari ini.

Katanya, mangsa menyatakan melihat video dirinya di akaun Facebook ‘Orang Kunak’ dan dalam rakaman video itu menunjukkan mangsa dipegang serta dipukul oleh tiga suspek manakala dua lagi cuba menghalang suspek lain daripada terus memukul mangsa.

“Rakaman akhir video menunjukkan mangsa seperti pengsan dan terbaring secara tertiarap. Menurut mangsa kejadian ini berlaku pada 28 Disember tahun lalu pada kira-kira jam 12.30 petang di kawasan Tapak Tamu, Pekan Kunak.

Mangsa dibelasah bertubi-tubi oleh sekumpulan remaja dalam kejadian di Tapak Tamu Pekan Kunak.

“Kejadian berpunca apabila mangsa menjual barang-barang yang dibeli secara kongsi bersama rakan-rakannya seperti barang-barang lusuh (bundle) tanpa pengetahuan dan hasil jualan tidak dibahagi sama rata dan apabila rakan-rakannya mengetahui perbuatan itu, mangsa sendiri minta didenda dengan cara dipukul oleh kawan-kawannya sebagai hukuman atas perbuatannya sendiri,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya lagi, selepas kejadian itu mangsa dan rakan-rakannya berkawan semula seperti sediakala.

“Menurut mangsa juga, beliau tidak mengalami kecederaan parah semasa kejadian ini.

“Selain itu, mangsa juga tidak mengetahui bagaimana video berkenaan boleh tersebar kerana kejadian tersebut sudah lama berlaku iaitu seminggu lalu dan telah ditularkan melalui media Facebook hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, Sabarudin berkata, tindakan diambil oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak adalah pada kira-kira jam 4.30 petang tadi oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kunak.

“Tujuh lelaki berusia antara 14 hingga 17 tahun yang terlibat termasuk mangsa sendiri ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam,” katanya.

Terdahulu, Sabarudin menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti anak mereka supaya tidak terlibat dengan perkara yang boleh merosakkan masa depan mereka kelak.

Sementara itu, dalam video berdurasi 28 saat itu, seorang remaja lelaki dibelasah oleh sekumpulan empat individu dipercayai belasan tahun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|