Kota Kinabalu: Tiada kes baharu jangkitan Covid-19 varian Omicron selepas satu kes membabitkan seorang lelaki jemaah umrah dari negeri ini yang dikesan di Tawau baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, bagaimanapun berkata, keputusan ujian sampel darah ‘genome sequencing’ untuk isteri jemaah umrah terbabit belum diperolehi.
Katanya, ujian itu yang mengambil masa antara tiga hingga empat minggu bagi mengesan sama ada isteri jemaah terbabit turut dijangkiti varian Omicron atau tidak.
Jelasnya, ujian sama turut dilaksanakan terhadap semua jemaah umrah yang baru balik dari Tanah Suci selain dari negara berisiko lain sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Setakat ini, kita hanya ada satu kes yang dilaporkan sebagai varian Omicron di Sabah,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan kes varian Omicron di Sabah pada Program Derma Darah dan Karnival Kesihatan 2022, di sini semalam.
Kerajaan negeri sebelum ini mengesahkan satu kes positif varian Omicron membabitkan jemaah umrah dari Tawau yang dikesan pada 4 Januari lalu.
Jemaah terbabit bersama isterinya mengerjakan umrah di Tanah Suci antara 9 Disember hingga 16 Disember lalu sebelum pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tiba di Tawau keesokannya.
Mengulas lanjut, Dr Rose Nani berkata semua jemaah umrah dari Sabah dan mereka yang balik dari negara berisiko tinggi jangkitan varian Omicron diwajibkan menjalani kuarantin di Kuala Lumpur sebagai langkah utama mengekang penularan varian berkenaan di Sabah.
Terdahulu pada majlis derma darah anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan Kelab Lion itu Dr Rose Nani berkata, pencapaian PBSMM mengumpul 9,371 pain darah sepanjang tahun lalu sangat membantu JKNS menangani keperluan bekalan darah di semua hospital di Sabah.
Beliau turut mengalu-alukan penganjuran program derma darah terutama dalam berdepan pandemik Covid-19 bagi menyelamatkan nyawa selain berharap lebih ramai anggota masyarakat tampil untuk menderma darah.
-Deasoka