Kebakaran setinggan, suami isteri rentung dan tujuh cedera

Kebakaran setinggan, suami isteri rentung dan tujuh cedera

Tawau: Suami isteri rentung manakala tujuh lagi cedera dalam kejadian kebakaran rumah setinggan di Kampung Sungai Buaya, Batu 2 1/2, Jalan Apas, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, mangsa yang rentung dikenali sebagai Saiful Rosli, 32, dan Jumaidah M Jida, 36, tahun.

Kejadian kebakaran rumah setinggan di Kampung Sungai Buaya, Batu 2 1/2, Jalan Apas, di sini, tengah malam tadi.

Mereka dilaporkan ditemui pasukan bomba sebaik kebakaran membabitkan sekurang-kurangnya 40 rumah di kawasan kampung seluas 5,000 meter persegi berkenaan dipadamkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.32 tengah malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 26 anggota dan pegawai bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba terus menjalankan operasi pemadaman api menggunakan dua aliran sepanjang 130 meter dengan empat pancutan menggunakan sumber air jentera dan parit berhampiran.

“Siasatan awal mendapati, tujuh mangsa berusia 6 hingga 45 tahun mengalami kecederaan melecur dan sudah dihantar ke Hospital Tawau sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal daripada terus merebak pada jam 2.07 pagi manakala mangsa yang rentung pula ditemui sekitar jam 4.45 hingga 5.50 pagi.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.20 pagi.

“Bahagian Forensik JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|