Min Yasmin lancar album baharu, buat konsert live di Sandakan Mac depan

Min Yasmin lancar album baharu, buat konsert live di Sandakan Mac depan

Sandakan: Penyanyi Min Yasmin kembali dengan buah tangan baharu menerusi album Min Yasmin ‘World On A Sting’ selain bakal mengadakan konsert Min Yasmin Live In Sandakan pada Mac depan.

Turut popular di negara jiran, Filipina, album terbaharu berkenaan menampilkan 18 lagu baharu berirama Melayu sentuhan daripada suaminya yang juga komposer terkenal, Julfekar.

Min dan Julfekar pada sidang media di sebuah hotel di Sandakan.

Menurut Min, ini adalah masanya untuk beliau fokus kepada penganjuran konsert di Sabah selain menampilkan album berbahasa Melayu untuk peminat seni suara di negara sendiri.

“Saya sebenarnya tidak mahu seperti berat sebelah, sebab sebelum ini peminat selalu tanya kenapa asyik buat (konsert) di Filipina, kenapa asyik dekat sana, kenapa tidak di sini.

“Jadi ini adalah masanya, bila masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita pun di sini, jadi saya ambil masa ini untuk fokus dengan penganjuran konsert ini, kalau sebelum ini disebabkan kekangan masa, jadi inilah masanya dan tepat pada waktunya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan album baharunya yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Jaffari Waliam.

Sementara itu, mengulas mengenai perancangan untuk membantu mangsa banjir melalui hasil jualan tiket konsert berkenaan, Min berkata memang ada usaha ke arah itu namun belum diperincikan secara teliti.

“Jika mengikuti media sosial Min sebelum ini, saya dan abang Jul (Julfekar) memang sejak awal sudah mengambil inisiatif membantu individu atau masyarakat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Malah apabila kita memuat naik aktiviti amal yang kita lakukan di laman sosial, ia seperti menjadi pemangkin kepada peminat serta rakan-rakan Min untuk turut serta berkongsi membantu golongan memerlukan.

“Kalau sebelum ini kita membantu orang terkesan Covid-19, mungkin kali ini kita boleh perincikan untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa yang terkesan dengan banjir,” katanya.

Konsert Min Yasmin Live In Sandakan bakal berlangsung di dua lokasi berasingan iaitu di Sabah Hotel Ballroom pada 11 Mac dan di Tiong Hua Hall pada 13 Mac depan.

-deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|