Bot ditemui berpusing tanpa jurumudi

Bot ditemui berpusing tanpa jurumudi

Sipitang: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika keluar memukat di Pantai Palakat, di sini, hari ini.

Mangsa Mohd Iqbal Daud, 43, dikatakan keluar memukat seorang diri kira-kira jam 10 malam, tadi.

Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa di sekitar Pantai Palakat, Sipitang. Pix Ihsan Bomba

Bagaimanapun kira-kira jam 3 pagi, beberapa nelayan menemui bot tanpa jurumudi dengan keadaan enjin masih hidup dan berpusing-pusing.

Bot berkenaan dipercayai milik mangsa dan susulan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang.

Pasukan bomba dan nelayan menjalankan operasi SAR di kawasan Pantai Palakat, Sipitang. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang menerima panggilan dari pihak polis jam 7.18 pagi.

Katanya, terdapat seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika keluar memukat di kawasan Pantai Palakat.

“Pasukan bomba bergegas ke lokasi untuk mendapatkan maklumat terperinci dan melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Setakat ini mangsa belum ditemui dan operasi SAR diteruskan di lokasi pada jarak satu batu nautika di kawasan Pantai Palakat,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Operasi SAR turut dibantu oleh nelayan di kawasan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|