Impian miliki rumah sendiri akhirnya tercapai

Impian miliki rumah sendiri akhirnya tercapai

Kota Kinabalu: Impian seorang lelaki yang juga seorang asnaf ingin memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai apabila rumah yang dimohonnya di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tebobon, Manggatal, dekat sini, siap sepenuhnya pada akhir tahun lalu.

Penerima, Jumaani Madin, berkata, dengan adanya rumah berkenaan ia secara tidak langsung mengurangkan bebannya menyewa rumah selama ini.

Yakub menyempurnakan penyerahan rumah PPRT kepada Jumaani di Kampung Tebobon, Manggatal.

Katanya, rumah itu adalah hadiah tahun baharu 2022 kepada keluarganya berikutan selama ini terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk menyewa rumah sebagai tempat berlindung kepada mereka sekeluarga.

“Rasa bebanan menyewa selama ini hilang. Selepas ini boleh fokus kepada keperluan keluarga terutama menjelang musim persekolahan anak-anak awal minggu depan.

“Kami sekeluarga sangat bersyukur kepada semua yang membantu terutama kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan,” katanya pada majlis penyerahan kunci rumah di Kampung Tebobon, Manggatal, semalam.

Yakub menyampaikan replika kunci rumah PPRT kepada Jumaani.

Jumaani turut menyatakan berterima kasih kepada Ketua Kampung serta pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang bertungkus-lumus memastikan mereka sekeluarga dapat menikmati rumah yang selesa itu.

Sementara itu, Yakub yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pihaknya merancang untuk membantu mengenal pasti penerima PPRT agar dapat dibantu dalam tempoh terdekat.

“Ini adalah merupakan sasaran utama kita di DUN Karambunai untuk membolehkan lebih ramai mereka yang layak mendapat rumah yang selesa untuk jangka masa panjang.

“Fokus kita adalah untuk menyediakan kediaman yang selesa kepada golongan termiskin yang masih belum mempunyai kediaman. Selain itu kita juga mengambil kira mereka yang memerlukan bantuan untuk membaik pulih rumah mereka, ” katanya.

Yakub berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) agar selepas ini lebih ramai mendapat manfaat PPRT.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|