SANDAKAN: Sebanyak 30 buah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran besar di Jalan Bokara, PPH Kampung Karamunting, awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan pada jam 3.16 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada jam 3.34 pagi, dengan jarak operasi sejauh 16 kilometer.
Operasi pemadaman melibatkan kekuatan seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan diketuai Komander Operasi, PBK I Rosemedian Majid, bersama Pegawai Kanan PKPgB Jimmy Lagung.
Kebakaran yang melibatkan kawasan seluas kira kira 3.5 ekar itu memusnahkan 30 rumah sepenuhnya, namun tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak dan menyelamatkan kira kira 100 buah rumah lain di kawasan berkenaan.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang 500 kaki dengan lima pancutan air, melibatkan sumber daripada tangki jentera, lori tangki air serta pili bomba berhampiran.
Beberapa agensi lain turut terlibat dalam operasi termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA, Tentera Laut Diraja Malaysia serta Jabatan Kebajikan.
Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.29 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.01 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban dalam insiden tersebut.
